Mampukah OPR baharu menyokong ekonomi

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyambut baik langkah terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) menurun Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus. Ini adalah kerana ianya mampu untuk menyokong permintaan domestik dan merangsang eksport.

Walau bagaimanapun kami juga berpandangan kajian yang lebih teliti oleh Jawantankuasa Polisi Kewangan (MPC) BNM adalah perlu untuk memastikan ‘liquidity trap’ tidak berlaku. OPR yang lebih rendah ini hanya akan memberikan kesan yang positif kepada ekonomi negara sekiranya kecairan yang terhasil daripada penurunan OPR ini disalurkan secara efektif ke dalam sistem ekonomi negara.

Untuk mengelakkan berlaku ‘liquidity trap’ ini, dalam beberapa ulasan kami yang lalu, kami menyarankan bahawa rejim baharu OPR ini haruslah digunakan sepenuhnya oleh pengguna untuk berbelanja dengan berhemat manakala pihak industri meningkatkan pelaburan terutama bagi sektor eksport. Langkah ini harus disokong oleh pihak bank dengan meningkatkan lagi pemberian pinjaman bagi menyokong dan meningkatkan agregat permintaan.

Advertisement

Walaupun tabungan akan terjejas dengan OPR yang lebih rendah namun kami berpandangan tabungan haruslah diteruskan bagi menyokong Nisbah Pinjaman Deposit (LDR) untuk terus berada dalam rejim yang mampan pada keadaan pasaran sekarang kadar pertumbuhan deposit masih mengatasi kadar pertumbuhan pinjaman

Kami juga menjangkakan nilai Ringgit akan terus terjejas dengan penurunan OPR ini. Walaupun ini mampu menyokong eksport namun ianya perlu dilakukan dengan penuh hati-hati dan bukan untuk jangka masa panjang. Ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, yang rata-rata masih bergantung kepada import, tidak terjejas.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

28 JamadilAwal 1441H
24 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 24/1/2020