Pulut kuning sempena Tahun Baharu Cina

PEKAN: Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Pekan telah menyantuni masyarakat kaum Tionghua menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang menetap di Bandar DiRaja ini, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Program diketuai oleh Yang DiPertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan bersama masyarakat Cina yang turut menjadi sebahagian daripada pengerak sosio-ekonomi di sini.

Program ini telah diadakan di sekitar Bandar Pekan yang mana tertumpu di tiga lokasi utama komuniti ini tinggal iaitu kedai tepi sungai, pasar dan terminal bas.

Dalam program yang turut dihadiri oleh pimpinan Pemuda dan Muslimat PAS Pekan ini, hampir 200 bekas pulut kuning berserta rendang dan kad ucapan Tahun Baharu Cina telah berjaya diedarkan.

Pimpinan PAS Pekan yang hadir sama ke program ini ialah Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Fadhil Noor Abdul Karim dan Setiausaha dan Bendahari, Kamaludin Suliman dan Muhammad Naim Mohd Nor serta Pengarah Pilihan Raya,Nazhar Othman.

Menurut Ustaz Fadhil yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, dalam kehidupan bermasyarakat Islam membenarkan merai dan menghormati perayaan kebudayaan kaum lain.

Namun jelasnya, Islam bertegas melarang penglibatan dalam acara keagamaan seperti penyembahan dan tidak harus hal itu dipolemikkan sepertimana berlaku baru-baru ini.

Susulan keprihatinan PAS menjaga hubungan baik bersama masyarakat Tionghua ini saban tahun, kebanyakan di antara mereka menyambut baik kedatangan rombongan yang berkunjung. – HARAKAHDAILY 24/1/2020