Ameerah-Puteri mahu juarai ehwal anak muda

BAGAN DATUK: Entiti muda wanita PAS dan Umno iaitu Ameerah dan Puteri senada menyuarakan kebimbangan terhadap bawaan Malaysia Baharu oleh pemerintah PH yang menjejaskan kestabilan politik dalam negara.

Advertisement

Suara mereka menggegar ruang perbahasan pada Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak yang berlangsung di Kompleks Umno Bahagian Bagan Datuk, di sini sebentar tadi.

Ketua Penerangan Ameerah Muslimat PAS Perak, Ustazah Nur Farhana Omar berkata, kegilaan pemimpin PH telah menyebabkan ketidaktentuan suasana politik hingga generasi muda mulai menghindari hal ehwal tersebut.

“Cabaran utama Ameerah dan Puteri ialah berdepan dengan generasi muda yang tidak mengendahkan politik semasa. Kebanyakan golongan ini memikirkan hal kosmetik, fesyen dan hiburan di media sosial semata-mata.

“Oleh itu Ameerah dan Puteri mesti menawan hati golongan ini dengan berusaha melahirkan ikon anak muda berketrampilan, berwibawa, berwawasan, berilmu dan bersahsiah Islamiah yang tinggi agar menjadi ikutan anak muda,” sarannya.

Ketika sama beliau mengingatkan golongan muda yang berada di peringkat memulakan kehidupan berkeluarga agar tidak mengabaikan rumahtangga kerana madrasatul ‘ula ini berperanan melahirkan generasi masa depan.

Manakala wakil Puteri Umno Perak, Siti Zubaidah Abdul Rahim menyentuh mengenai banyaknya kesan negatif yang melanda rakyat kesan politik era Malaysia Baharu antaranya peningkatan kos sara hidup, kadar hutang semakin tinggi dan perpaduan kaum kian terjejas.

Menurutnya, Puteri dan Ameerah akan bersama mempergiatkan dialog dan forum dengan anak muda dalam menyelami denyut nadi ini dan mengemukakan penyelesaian yang mengeluarkan mereka daripada masalah membelenggu.

“Puteri akan terus berusaha memperjuangkan nasib golongan muda terutama memandu mereka kepada kaedah meningkatkan taraf ekonomi dan peluang-peluang pekerjaan yang ada,” ujarnya beriltizam mengembalikan kemenangan pada PRU15. – HARAKAHDAILY 25/1/2020