Ancaman PH tuntut kebangkitan Muafakat Nasional

BAGAN DATUK: Pemerintahan Kerajaan PH telah membawa agenda yang boleh memberi ancaman kepada rakyat dan negara ini iaitulah perkauman dan cubaan untuk mengubah sistem pilihan raya sedia ada.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, ancaman tersebut bertujuan menggagalkan kemenangan Muafakat Nasional dan cuba membentuk bilangan pengundi yang memberi kelebihan kepada PH.

Beliau berucap dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak yang telah dilangsungkan di Kompleks Umno Bahagian Bagan Datuk, di sini sebentar tadi.

“Kononnya PAS dan Umno ini rasis, sedangkan PH yang melebarkan jurang perkauman di negara kita,” ujarnya menasihatkan PH tidak meneruskan sikap yang boleh mencetuskan sejarah hitam 13 Mei 1969 daripada berulang kembali.

Menurutnya, melalui tindakan untuk mengubah sistem pilihan raya, PH dapat memanipulasinya untuk memberi kemenangan kepada mereka biarpun data Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan statistik Bumiputera Iskam melebihi 68 peratus.

Sehubungan itu serunya, penting rakyat bangkit dan para pendukung Muafakat Nasional mesti memegang teguh sikap wala’ dan thiqah kepada pimpinan supaya hasrat satu lawan satu pada PRU15 direalisasikan.

Beliau juga mengingatkan disebalik ancaman itu juga terdapat cabaran daripada PH yang dapat ditangani para pendukung Muafakat Nasional dengan formula menjaga keharmonian dan sensitiviti sesama rakan.

Sementara itu, Pengerusi Umno Perak, Dato’ Saarani Mohamad menyifatkan konvensyen hari ini sebagai isyarat jelas bahawa PAS dan Umno enggan berpatah ke belakang semula dan bersedia menempuh segala halangan. – HARAKAHDAILY 25/1/2020