Karya Dr Daeng Sanusi Mariok, 1981: Ilmu Kalam

BIDANG aqidah merupakan salah satu cabang ilmu Islam yang penting, di mana termasuk perbahasan di dalamnya mengenai ilmu kalam. Ia disebut juga sebagai ilmu tauhid dan sifat, ilmu Usuluddin dan al-Fiqh al-Akbar. Menurut Ibnu Khaldun, ilmu kalam adalah suatu ilmu yang mengandungi alasan-alasan dan dalil-dalil aqli mengenai kebenaran aqidah yang dianuti dan mengandungi alasan-alasan logik bagi menolak aqidah sesat yang menyeleweng daripada aliran salaf dan sunnah. Oleh kerana bidang ini sangat kritikal, terutama dalam menghadapi masyarakat Islam yang baru mencapai kemerdekaan dan wujudnya gelombang kesedaran dan kebangkitan Islam, persoalan ini menarik perhatian pimpinan PAS dalam penghasilan karya-karya mereka, khususnya pada dekad 1980-an.

Advertisement

Dekad awal 1980-an merupakan satu dekad yang agak tegang mengenai perbincang isu aqidah dalam masyarakat. Kerana itu, penghasilan karya-karya mengenai aqidah menjadi popular seperti karya-karya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang termasuk Batas-batas Iman dan Kufur (1983), Muqaddimah Aqidah Muslimin (1985) dan Siapa Menganut Ajaran Sesat? (1986); karya Ustaz Fadzil Mohd Noor, Aqidah dan Perjuangan (1986); karya Ustaz Ismail Awang, Mengenal Iman, Murtad, Kufur, Syirik, Munafik, Zalim, Fasik Menurut al-Quran dan Sunnah (1983); karya Ustaz Nakhaie Ahmad, Syahadah: Konsep dan Tuntutannya (1979); karya Ustaz Abdullah Salleh al-Qari, Amalan Jahiliyah dan Perbandingan Manusia Kini (1983) dan Analisa Dua Kalimah Syahadah dan Sebab-sebab Kufur dan Murtad (1987); di samping karya ulamak luar seperti karya Sheikh Abdul Aziz Baz yang diterjemah, Perkara-perkara Yang Membatalkan Iman dan Islam (1984) dan Aqidah Sahih Akidah Kufur (1986); karya Maulana Abu Hassan Ali an-Nadwi yang diterjemah, Gejala Riddah: Mengapa Tidak Ada Abu Bakar Memeranginya (1983); karya Sheikh Said Hawwa yang diterjemah, Batas-batas Iman dan Kufur (1982); dan lain-lain. Turut menyertai kerancakan perbahasan ini ialah Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok, Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia melalui dua karyanya, Ilmu Kalam (1981) dan Batas-batas Iman dan Kufur (1982).

Dr Daeng Sanusi Mariok (l. 1938) adalah seorang putera Bugis yang dilahirkan di Benut, Johor. Beliau mendapat pendidikan agama di Sekolah Arab Keluang, sebelum mamasuki Kolej Islam Malaya pada 1959. Setelah mendapat Ijazah al-Aliyah pada 1964, beliau kemudiannya lulus ijazah MA (Universiti a-Azhar, 1966) dan PhD (Universiti Kaherah, 1975). Pada awalnya beliau berkhidmat sebagai pensyarah Kolej Islam Malaya, sebelum diserap menjadi pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM di Jabatan Usuluddin dan Falsafah. Beliau adalah salah seorang pengasas Cawangan PAS pertama di Johor, PAS Cawangan Benut pada 6 Mei 1954, tetapi menjadi ahli PAS dalam bulan Disember 1966 ketika bekerja di Kolej Islam. Pada 1975, beliau menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, sebelum terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 1977. Pada 1990, beliau menjadi Ahli Parlimen Rantau Panjang selama dua penggal dan kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS.

Karya beliau, Ilmu Kalam: Sejarah Pertumbuhan dan Perkembangan adalah antara karya beliau yang terawal diterbitkan. Ia ditulis pada permulaan abad ke-15 Hijriyah dan diterbitkan oleh Persatuan Bekas Mahasiswa Timur Tengah pada 1981. Pada asasnya, buku ini telah memperkenalkan kepada masyarakat Islam, khususnya para pelajar mengenai ilmu kalam dalam perbincangan aqidah. Buku ini pada asasnya mengandungi tiga bahagian. Pertama, mengenai konsep ilmu kalam dalam pengajian aqidah; kedua, mengenai sejarah pertumbuhan ilmu kalam sejak Rasulullah S.A.W sehingga zaman Tabien; dan ketiga mengenai perkembangan dan pemikiran mazhab-mazhab ilmu kalam seperti Qadariyah, Jabariyah, Muktazilah dan Ahli Sunnah wal Jamaah. Turut dibahaskan ialah beberapa doktrin yang menjadi pegangan aqidah Ahli Sunnah atau pun aliran al-Asy’ariyah.

Buku ini boleh dianggap pengenalan kepada buku-buku aqidah yang banyak dihasilkan ketika itu dengan memberi fokus kepada persoalan iman dan kufur serta batas-batasnya. Sedang buku ini telah menghuraikan bagaimana berkembangnya pemikiran aqidah dalam sejarah Islam, sehingga kemudiannya melahirkan aliran-aliran aqidah yang pelbagai. Pokok perbahasan aqidah yang berkait dengan sifat dan perbuatan Allah serta perbuatan manusia telah menjadi asas kepada perbincangan para Mutakallimin (ulamak ilmu kalam) untuk menghadapi ilmu mantiq (logik) yang digunakan oleh ahli-ahli falsafah dalam mempertahankan agama dan aqidah. Dalam suasana umat yang menghadapi gelombang idealogi, pemikiran dan falsafah pada dekad sebelum 1970-an, telah mendesak supaya persoalan ilmu kalam ini difahami semula oleh umat Islam.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/1/2020