Konvensyen MN untuk perkuatkan BN dan GS

BAGAN DATUK: Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak menjadi wadah PAS dan Umno menilai peranan dan tanggungjawab dalam usaha memperkukuh dan memantapkan penyatuan kedua-dua parti serta Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Datuk, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, program ini juga untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran melalui mesej dan amanat pimpinan, selain memberi penjelasan terhadap isu semasa.

Maklumnya, menerusi konvensyen ini, PAS dan Umno mahu mempertingkatkan kesefahaman dan kerjasama jitu kedua parti termasuk parti komponen Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera agar bergerak sebagai satu pasukan dan saling menguatkan.

Beliau membentangkan objektif konvensyen disamping Ketua Umno Bahagian Gerik, Dato’ Hasbullah Osman selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penyelaras pada pembukaan di Kompleks Umno Bagan Datuk, di sini pagi tadi.

“Tiada siapa pun yang terfikir, PAS dan Umno yang jadi musuh politik tradisi, pada hari ini melupakan persengketaan zaman silam dan bermuafakat demi mengembalikan maruah umat Islam dan Melayu yang di injak-injak oleh Kerajaan PH.

“Walaupun musuh politik kita sentiasa mencari jalan untuk memecahbelahkan, mencengkam serta mengatur agenda licik supaya kita terus bersengketa, namun kerja dan perancangan Allah lagi Maha Bijaksana,” ujar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak.

Menurut beliau, Muafakat Nasional antara PAS dan Umno adalah penyatuan dua parti yang bermusuh secara tradisi itu tidak lain demi menyelamatkan rakyat dan negara dan menjadi lanjutan HPU914 di mana satu piagam bersama telah termeterai.

Pelbagai acara lain akan turut berlangsung sempena majlis bersejarah bagi kedua-dua parti ini hingga lewat tengah malam nanti. – HARAKAHDAILY 25/1/2020