Pantun: Seni Melayu serikan Konvensyen MN

BAGAN DATUK: Pantun yang merupakan antara kesenian Melayu telah menyatukan semua pembahas sesi pagi dalam Konvensyen Muafakat Nasional di Kompleks Umno Bagan Datuk, di sini hari ini.

Advertisement

Berikut merupakan antara bait-bait pantun yang dipetik daripada empat pembahas pada sesi siang hari ini:

Sirih pinang buat hiasan,
Kacip suasa berukir tembaga,
Masih panjang arus perjuangan,
Demi bangsa negara tercinta.
(Wakil Puteri Umno Perak, Siti Zubaidah Abdul Rahim)

Bertudung hijau bertudung merah,
Ke Bagan Datuk sungguh meriah,
Dalam Umno ada Puteri dalam PAS ada Ameerah,
Berkumpul kita penuh sejarah.
(Wakil Ameerah PAS Perak, Nur Farhana Omar)

Kalau jernih air di hulu,
Jernihlah juga air di kuala,
Kalau bersih niat di kalbu,
Tersisih segala cacat dan cela.

Kalau hendak memilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Kalau hendak pilih pemimpin sejati,
Pertama elok kedua pandai.

Matinya semut kerana gula,
Kail berduri bersalut umpan,
Janji dipaut mengharap laba,
Rupanya diri yang menjadi korban.

Adat berkawan,
Jangan dibiak benih pertelagahan.
Resam berpakat,
Berat dan ringan sama diangkat.
Adat berjuang,
Biar sampai menang.
Seeloknya yang jauh didekatkan,
Yang dekat dimesrakan.

Apa riuh di kaki bukit,
Anak rusa kehilangan ibu,
Jika sungguh Muafakat nak bangkit,
Elak sengketa terus bersatu.
(Pengerusi Kelab Veteran Umno, Dato’ Sani Sufi)

Tua bukan sebarang tua,
Jumpa PH jadi muda.

Pat pat siku lipat,
Hancur PH menang muafakat.
(Wakil As-Sabiqun PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain)

Rangkap-rangkap pantun berikut dilantun di hadapan lebih 3,000 perwakilan dari parti PAS dan Umno Perak dan dijangka bakal dihadiri dua pemimpin tertinggi kedua-dua parti pada sesi penutup petang ini. – HARAKAHDAILY 25/1/2020