PAS Teluk Intan rai kaum Tionghua Taman Cicely

TELUK INTAN: PAS Kawasan Teluk Intan bersama PAS Cawangan Taman Cicely telah mengadakan lawatan sempena sambutan Tahun Baharu Cina ke rumah penduduk kaum Tionghua yang mendiami kawasan perumahan sekitar Taman Cicely, di sini semalam.

Advertisement

Kunjungan ini disertai oleh Yang Dipertua PAS Teluk Intan, Ismail Che Nik dan Timbalannya, Rostam Malik serta Penyelaras DUN Changkat Jong, Mohd Azhar Mohd Rafiei.

Program yang dianjur bersama Lajnah Perpaduan Nasional PAS Teluk Intan ini dipimpin Pengerusinya, Mutiaton Said Palah dan Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abas.

Sambil bertanya khabar persiapan Tahun Baharu, mereka yang dikunjungi juga turut diberi buah tangan berupa cenderahati berisi bahulu ikan, kacang dan air kotak.

Menurut Rostam yang juga Ketua PAS Cawangan Batu 3, Taman Cicely, lawatan ini bertujuan untuk meraikan penduduk-penduduk Tionghua yang bakal merayakan Tahun Baharu Cina.

Katanya, lawatan ini juga sebagai tanda semangat perpaduan yang ingin disemarakkan oleh pihak PAS dan meraikan kepelbagaian kaum dan budaya dalam kalangan penduduk setempat.

Manakala Mutiaton pula berkata, pihak Lajnah Perpaduan Nasional Teluk Intan berharap perpaduan kaum yang telah terbina sejak merdeka dari pemimpin-pemimpin terdahulu termasuk dari kaum Cina dapat diperkukuhkan lagi. 

“Walaupun terdapat cubaan-cubaan untuk mengugat keharmonian itu sejak akhir-akhir ini, saya bagi pihak Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan berharap agar kita rakyat berbilang kaum sama-sama membina Malaysia yang lebih aman, bersatu padu dan cemerlang,” ujarnya.

Lawatan ini disambut baik oleh penduduk setempat di mana ada di antara mereka membalas dengan memberi buah limau dan angpau kepada pimpinan PAS yang datang berkunjung ke rumah mereka.

Hasil kunjungan ini juga terdapat penduduk yang dikunjungi meluahkan kebimbangan terhadap kemerosotan ekonomi dan kekurangan hasil perniagaan yang dialami kebelakangan ini.

Mereka berharap Tahun Baharu Cina yang bakal disambut mendatangkan kebaikan dan menambah keberhasilan ekonomi yang lebih berganda tahun ini. – HARAKAHDAILY 25/1/2020