Pastikan agama, bangsa tidak terus dihina, merempat

BAGAN DATUK: Kebersamaan antara PAS dan Umno adalah untuk menjadi kuat agar Muafakat Nasional benar-benar berjaya dan Kerajaan PH terus terhapus, demikian suntikan semangat disuarakan Ketua Penerangan Muslimat PAS Perak, Ustazah Hasna’ Ab Samad.

Advertisement

“Kita tidak mahu melihat Islam terus diperlekeh, dimainkan dan dihina. Kita tidak mahu melihat hak-hak rakyat tidak dipedulikan. Maka jawapan kepada semua ini adalah kita perlu bersama agar kebersamaan ini menjadi kuat,” ujarnya.

Beliau berucap sebagai pembahas PAS pada Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak yang telah dilangsungkan di Kompleks Umno Bahagian Bagan Datuk, di sini hari ini.

Untuk itu serunya, bagi memastikan penjelasan mengenai _Ta’awun Siyasi_ PAS dan Umno serta perlunya Muafakat Nasional diadakan, maka  gerak kerja penerangan kepada masyarakat mesti dilaksanakan hingga ke akar umbi.

Menurutnya, penerangan konvensional menerusi ceramah termasuk berbentuk kekeluargaan dan kasih sayang turut perlu digiatkan khususnya kepada golongan yang tidak meminati alam maya, termasuk program kebesaran Islam.

“Program secara kecil-kecilan (selawat, zikir, nasyid, tadarus al-Quran, forum), tetapi ia memberi impak tinggi. Turun ke setiap rumah, turun ke kawasan-kawasan. Cakna dan fahamilah masalah-masalah rakyat,” kemukanya.

Beliau juga menyeru supaya menjadi qudwah kepada masyarakat seluruhnya dengan mempamerkan imej Islam serta mengelakkan sengketa dalam menjayakan Muafakat Nasional setelah perbalahan lama sudah cukup menjadi iktibar.

Jelasnya juga, pemangkin kepada gerak kerja mestilah dengan memiliki kekuatan rohani yang sama sekali tidak meletakkan hubbun dunya berlebihan, sebaliknya berjuang demi memastikan anak bangsa tidak merempat di bumi sendiri.

Beliau juga menyeru supaya dipastikan kejayaan Muafakat Nasional kelak adalah untuk terus menjamin supaya hak-hak rakyat akan sentiasa terpelihara. – HARAKAHDAILY 25/1/2020