Penting perkukuh MN untuk hadapi agenda ‘musuh’

BAGAN DATUK: Muafakat Nasional antara PAS dan Umno serta parti-parti dan para NGO yang bersamanya hendaklah diperkukuhkan bagi menghadapi agenda musuh terhadap masa depan rakyat dan negara ini, demikian seru Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Advertisement

Menurutnya, Muafakat Nasional perlu dirangka membawa agenda besar masa depan dan meninggikan kepentingan Islam sebagai teras utama politik negara ini dengan menjadikan segala hal kerjasama yang wujud itu bertunjangkan Islam itu sendiri.

Perkara tersebut dipertegaskan beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Teknikal Muafakat Nasional Peringkat Pusat ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak di Kompleks Umno Bahagian Bagan Datuk, di sini sebentar tadi.

“Kita bersyukur dalam keadaan waktu kita kalah, waktu kuasa Melayu hilang dan kini beralih tangan kepada DAP yang mendominasi Pakatan Harapan, namun masih ramai pengundi Islam yang mahu memperjuangkan Islam.

“Allah S.W.T masih selamatkan kita semua kerana ketika ini sebenarnya sokongan majoriti Muslim sekitar 65 peratus kepada dua parti negara ini. Maka hendaklah dirangka agenda bersama berpandukan adab ikhtilaf.

“Jagalah hubungan dengan Allah kerana usaha Muafakat Nasional ini adalah dengan memperjuangkan Islam yang pasti dengannya akan menyelamatkan semua bangsa dan agama lain,” ujarnya menegaskan Islam sebagai tunggak kekuatan politik Melayu.

Beliau juga menekankan mengenai kewaspadaan terhadap musuh yang berusaha melemahkan kekuatan agama dan bangsa, serta memberi persepsi buruk kepada kaum bukan-Melayu untuk menjarakkan golongan itu daripada PAS dan Umno.

Namun bidasnya, PAS berpolitik dengan menurut perintah agama yang turut memerintahkan supaya menaungi agama lain sebagaimana di Kelantan cuma ada 5 peratus penduduk bukan-Islam, tetapi mereka di bawah tanggungjawab pemerintahan.

“Waktu kita (PAS-Umno) beritahu untuk kerjasama, mereka (DAP) telah menyifatkan kita sebagai ‘Taliban’. Kita jawab di Kelantan PAS telah 30 tahun memerintah, Malaysia 61 tahun bawah BN, rakyat hidup aman harmoni,” jelas beliau.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan Muafakat Nasional adalah alternatif  kepada Malaysia Baharu yang mestilah bergerak berasas Perlembagaan Negara dan ideologi segar bersifat sezaman.

Kedua-dua mereka menyampaikan pembentangan yang dipengerusikan Setiausaha PAS dan Setiausaha Umno Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin dan Dato’ Azian Osman. – HARAKAHDAILY 25/1/2020