‘Terasa muda bila lawan PH’ – As-Sabiqun

BAGAN DATUK: Penyusunan strategi, menggiatkan aktiviti kemasyarakatan dan meramaikan penyokong mesti digiatkan dalam Muafakat Nasional hingga mampu menumbangkan PH, demikian seru wakil As-Sabiqun PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain.

Advertisement

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Gopeng berucap dalam perbahasan pada Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak di Kompleks Umno Bahagian Bagan Datuk, di sini sebentar tadi.

Menurutnya ahli PAS dan Umno perlu menyedari bahawa gerak kerja bersama mestilah dalam rangka memenuhi perintah Allah sebagaimana seruan-Nya dalam ayat 17 surah an-Nazi’at kepada Nabi Musa untuk bertemu Firaun kerana melampaui batas.

“Ini menunjukkan bahawa Allah meminta agar berjumpa dengan orang-orang yang zalim untuk menyeru kebenaran kepada mereka. Maka inilah juga perkaitan kewajiban kita lakukan hari ini untuk berdepan Kerajaan PH yang banyak melakukan pelanggaran syariat Allah,” hujahnya.

Oleh itu katanya, dengan tema “Muafakat Menuju Kemenangan” bermakna hasrat untuk menang pada PRU15 yang syarat terpentingnya adalah memantapkan hubungan dengan Allah agar mampu sedaya upaya untuk menjaga agama-Nya.

Malah, mewakili generasi veteran PAS, beliau menyuarakan rasa semangat yang kuat untuk PH dikalahkan atas segala pelanggaran terhadap agama telah dilakukan, seterusnya berjuang memenangkan Muafakat Nasional.

“Tua bukan sebarang tua, jumpa PH jadi muda. Pat pat siku lipat, hancur PH, menang Muafakat,” ujarnya menggamatkan dewan yang dihadiri perwakilan kedua-dua parti dari seluruh negeri Perak untuk bersama hingga tengah malam nanti.

Bekas ADUN Titi Serong ini juga mengingatkan para perwakilan untuk sentiasa mengutamakan syura atau keputusan mesyuarat dari pimpinan tertinggi dalam setiap langkah dan tindakan serta setia kepada perjuangan.

Terdahulu, wakil Veteran Umno, Dato’ Sani Sufi mengingatkan perwakilan agar menjaga pantang larang dalam muafakat iaitu tiada tikam menikam, berpolemik sesama sendiri secara terbuka atau mementingkan peribadi melebihi kepentingan bersama.

Nasihatnya, Muafakat Nasional harus dijaga seperti bayi baru dilahirkan yang menubtut penjagaan rapi supaya tidak membujur akibat pra-matang. – HARAKAHDAILY 25/1/2020