Aku sudah bosan dengan politik…

AKU sudah bosan dengan politik…
Setiap hari pasti ada berita pertelingkahan politik yang dipetik.
Kawan dengan lawan, Kawan dengan kawan, mereka tersepit.
Jiran dengan jiran, dengan saudara mara, mereka bertarik-tarik.
Semua itu hanya menggambarkan politik itu jelik.
Ah… politik ini memecahkan, memisahkan, menyusahkan, amat perit.

Aku sudah bosan dengan politik…
Saban waktu akan ada sahaja yang buat isu.
Pimpinan yang berkelahi, pimpinan yang bersatu.
Lepas berseteru, kemudian pula bersekutu.
Kisah rakyat yang susah, tidak pernah sudah di sini, di situ.
Saking tidak terbela dek kerana pimpinan yang berbalah tiap waktu.
Ceritera marhaen yang tidak pernah kering air mata darah, menyentuh kalbu.

Aku sudah bosan dengan politik…
Ketika kalah, masing-masing menuding jari.
Sewaktu tewas, ramai yang melarikan diri.
Saat tumpas, hanya beberapa kerat berhempas pulas, tidak lari.
Tetapi ketika menang, lagaknya bagai dia yang berkerja seorang diri.
Sewaktu berjaya, ramai yang memunculkan diri.
Saat kejayaan, mereka mengaku rakan, tersenyum menampakkan gigi.

Aku sudah bosan dengan politik…
Berbagai kisah bermacam ragam yang didengar.
Ada kisah peribadi, ada juga cerita di dalam gebar.
Ada yang belum apa-apa sudah berbuat onar.
Tidak kurang juga mencari projek untuk dibayar.
Ramai juga menghantar status di media sosial atau akhbar.
Sama ada gembira, marah ataupun menjaja diri untuk disebar.

Tetapi jika semua sudah bosan, siapa pula yang akan bertanggungjawab.
Kerana sememangnya politik ini musuh Islam mahu ia digelap.
Buatlah apa sahaja, asalkan ia tidak bergerak.
Menyalahi al-Quran, Sunnah yang diterangkan dalam kitab.
Untuk mendungukan seluruh manusia dan juga umat.
Agar kita tidak melihat politik ini jalan ke akhirat.

Maka terbukalah jalan fitnah.
Orang Sekular, Liberal dan lebai pun boleh jadi punah.
Kerana menganggap politik ini kotor seperti darah dan nanah.
Politik itu dikatakan bukan Maqasid Syariah.
Sebagaimana yang dikehendaki dan ditetapkan Allah.
Kerana fikiran ini muncul, maka kesatuan umat berpecah.

Diganggu pula mereka yang menyokong.
Biar kita hanya beribadat, politik ini sudah jauh terpesong.
Dibacakan dalil-dalil untuk mendorong.
Agar manusia melihat, berfikir dan merenung.
Dakwa mereka, kamu sudah jauh berada di jalan yang kosong.
Kembalilah bersama kami, ke jalan yang benar, jalan yang agung.

Ramai yang terpesona dengan dalil dan hujahan.
Tidak memilih pemimpin untuk menjaga negara dan agama tuhan.
Terperosok mereka di sudut masjid berzikir atau membaca al-Quran.
Mempercayai sama sahaja siapa pun yang memegang jawatan.
Demokrasi bukanlah syariat yang ditetapkan.
Tetapi hanyalah alat yang tidak benar tujuan.

Bergembiralah sang kafir yang merencanakan.
Kerana sesama Islam sekarang sedang berantakan.
Membiarkan negara diperintah manusia berjiwa syaitan.
Diseru pula rakyat, jangan ditentang pimpinan.
Kerana inilah takdir yang Allah tentukan.
Jika melawan, Khawarij, bughah, mereka gelarkan.

Tetapi hairan bermain di dalam fikiran.
Kerana bila Jemaah Islam menang, mereka segera melawan.
Jahatnya parti Islam bagai tiada bertepian.
Bagaikan ia dari kumpulan Iblis dan Syaitan.
Jihad paling afdal berkata benar di depan pimpinan.
Segera dalil mereka beri apabila ditanya kenapa begini kelakuan.

Aku tidak boleh bosan berpolitik kerana ia adalah Sunnatullah.
Memang menegakkan agama itu amat payah.
Musuh yang datang dari pelbagai arah.
Ada musuh datang dengan senyuman, ada juga dengan wajah marah.
Ini semua menjadi bukti benarnya janji Allah.
Bagi yang mahukan syurga, kenalah bermujahadah.

Telah dihapuskan dosa besar seperti jualan judi.
Apabila pemimpin Islam menguasai negeri.
Di akhirat nanti tangan memangkah akan menjadi saksi.
Tidak mengecewakan, Islam Parti Islam yang diundi.
Mereka berusaha dengan sesungguh hati.
Walaupun segalanya belum sempurna lagi.

Janganlah kita bosan berpolitik cara Islam.
Kerana kecewanya kita itulah yang musuh idam.
Mereka hanya mahukan cahaya Islam itu terpadam.
Dengan membangkitkan dalam jiwa kita bermusuh dan dendam.
Selama kita berbalah, tiada akan bangkitlah Islam.
Segeralah bersatu, agar musuh Allah dapat kita benam.

Kita akan bosan berpolitik jika terus mengejar kesempurnaan.
Atau jika kamu dikuasai kegelojohan.
Bergeraklah dalam jemaah, sedikit demi sedikit, kita laksanakan.
Proses ini tidak mudah, ia memerlukan kesabaran.
Tiadalah syarat politik kita itu wajib capai kemenangan.
Itu semua dalam urusan tuhan.
Tetapi yang dilihatNya ialah apa yang telah kita usahakan.

Jangan kita bosan berpolitik cara Islam… Selama-lamanya.

MOHD NASIR ABDULLAH
26 Januari 2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement