PAS JB sampai mesej ‘Xin nian kuai le’

JOHOR BAHRU: Lajnah Dakwah PAS Kawasan Johor Bahru telah mengadakan program dakwah jalanan khususnya menyantuni masyarakat kaum Tionghua sempena Sambutan Tahun Baharu Cina, kelmarin dahulu.

Advertisement

Delegasi terdiri daripada anggota Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Ameerah PAS Johor Bahru yang turut disertai ahli keluarga masing-masing menjayakan program di sekitar Taman Melodies, di sini.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Johor Bahru, Ustaz Abd Haffizd Abd Karim berkata, program ini bertujuan untuk menyemarakkan keharmonian kaum yang mutakhir ini agak ditekan dengan pelbagai isu sensitif dimainkan pihak berkepentingan.

Menurutnya lagi, program ini juga menjadi platform untuk menyampaikan mesej Islam yang membawa keselamatan dan kasih sayang kepada seluruh umat manusia tanpa mengira perbezaan kaum dan bangsa.

Rombongan telah mengedarkan hadiah bersama ‘sticker’ yang membawa mesej Selamat Tahun Baharu dalam tulisan Jawi dan Xin Nian Kuai Le dalam tulisan Cina kepada setiap yang ditemui.

Rata-rata kaum Tionghua yang ditemui juga memberikan reaksi yang baik dengan membalas ucapan dan melahirkan rasa kekitaan, selain tidak setuju dengan tindakan membangkitkan isu perpecahan kaum. – HARAKAHDAILY 26/1/2020