Penurunan OPR: Pro dan Kontra

BANK Negara Malaysia mengambil langkah tidak popular dengan mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman atau dalam istilah asalnya ialah Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 25 mata asas beberapa hari lepas. Tinjauan daripada Bloomberg dan Reuters mendapati konsensus ahli ekonomi menganggarkan penurunan OPR tidak berlaku dalam masa terdekat melainkan selepas pengumuman laporan ekonomi 2019 yang dijadual pada Februari nanti. Walau bagaimanapun, penurunan OPR pada masa sekarang bolehlah dianggap ‘last bullet’ yang perlu diambil untuk merangsang pertumbuhan ekonomi buat masa ini.

Penurunan terakhir dilakukan pada 7 Mei 2019 iaitu dari 3.25 peratus kepada 3.00 peratus. Kemudian, ia diturunkan lagi sehingga paras 2.75 peratus minggu lepas dan merupakan kadar paling rendah sejak tahun 2011 (jadual dilampirkan). Setiap pergerakan mata OPR memberi implikasi ekonomi sama ada makro atau mikro. Sudah tentu pergerakan tersebut juga didorong pelbagai faktor ekonomi domestik dan antarabangsa. Kali ini penurunan OPR disebabkan oleh kelembapan pertumbuhan ekonomi global, kemerosotan sektor komoditi dan penjajaran semula trajektori ekonomi negara.

Advertisement


Malaysia yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka bergantung kepada hasil perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Namun, krisis politik di rantau Timur Tengah, ketegangan protes masyarakat sivil di beberapa negara membangun seperti Hong Kong dan India, pengakhiran Brexit, kemeruapan agresif harga komoditi dan kebimbangan terhadap ancaman alam sekitar memerlukan kepada satu momentum baharu. Tidak dilupakan juga kesan penularan Virus Korona yang mendatangkan kesan tidak sedikit kepada perkembangan ekonomi negara China. Justeru, dasar pengembangan monetari perlu diambil untuk terus merangsang penggunaan dan pelaburan swasta.

Secara tidak langsung, rakyat boleh menganggarkan kedudukan ekonomi Suku Keempat dan keseluruhan tahun 2019 terjejas daripada anggaran awal. Bank Negara dilihat terus mengambil langkah ‘pre-emptive’ untuk merangsang semula ekonomi. OPR bertindak sebagai pengimbang ekonomi. Pinjaman bank dengan bank dikenakan kadar faedah yang ditentukan oleh Bank Negara Malaysia atau spesifiknya Monetary Policy Committee (MPC). Ia turut memberi kesan kepada kadar faedah atau kadar keuntungan bank bagi mengawal kerugian.



Banyak bank telah mengambil langkah mengurangkan kadar faedah asas (BR) pinjaman dan kadar faedah atau keuntungan simpanan tetap. CIMB, Maybank, RHB, Public Bank telah mengambil tindakan susulan paling awal pada 23 Januari dan akhir bulan ini. Secara umumnya, penurunan kadar faedah atau keuntungan akan mengurangkan kos pinjaman atau pembiayaan pelanggan dan merangsang prospek permohonan pinjaman atau pembiayaan baharu. Saya lampirkan jadual yang menunjukkan kesan yang berlaku terhadap peminjam setelah berlaku pengurangan Base Rate (BR).

Satu sisi lain menunjukkan dedahan bank kepada risiko lebih tinggi disebabkan jumlah ‘proportion’ besar pinjaman atau pembiayaan menerusi rejim kadar faedah apungan. Selain itu, saham-saham institusi perbankan di Bursa Malaysia turut terkesan dengan pengumuman penurunan OPR pada 23 Januari. Contohnya, saham RHB turun 3 sen, Maybank turun 4 sen dan CIMB turun 10 sen. Sudah tentu dalam jangka masa pendek, anggaran keuntungan bank akan terjejas sebelum kembali normal selepas fasa ‘correction’. Bursa Malaysia Finance Index mencatatkan kerugian 1.37 peratus (210.43 mata) kepada 15,114.96 mata.

Pada masa yang sama, purata inflasi pada tahun 2019 ialah 0.7 peratus. Walau bagaimanapun, unjuran tahun 2020 akan menokok sekitar 2.0 peratus bergantung juga kepada harga minyak dan komoditi global. Bank Negara Malaysia menyifatkan kenaikan tersebut masih stabil, kekal sederhana serta ia memberi cerminan sebenar kepada aktiviti ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar. Penurunan OPR dilihat sebagai taruhan besar untuk menyokong ekonomi negara menerusi aktiviti penggunaan swasta yang masih kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Sama-sama kita mengharapkan dengan penurunan OPR ini berjaya meransang dan merancakkan aktiviti ekonomi sekali gus membantu negara mengharungi detik-detik mencabar pada hari ini.

AHMAD FADHLI SHAARI,
Ahli Parlimen Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 26/1/2020