Retorik PH tidak atasi pengangguran anak muda

BAGAN DATUK: Hanya 148,000 jawatan yang ditawarkan peluang pekerjaan daripada 1.2 juta statistik pengangguran direkodkan telah menjadi salah satu kegagalan Kerajaan PH disebalik janji manifesto pernah dibanggakan mereka.

Advertisement

Setiausaha Pemuda PAS Negeri Perak, Helmi Affandi Ali berkata, hal tersebut telah menjadi isu dalam kalangan anak muda hari ini yang berdepan peluang pekerjaan terhad disebabkan masalah pengangguran terus gagal ditampung pemerintah.

“Masalah anak muda hari ini adalah berkenaan pekerjaan. Kita lihat banyaknya anak muda menganggur di kampung-kampung. Apabila mereka menganggur, mereka tidak mampu membangunkan kampung sendiri, apatah lagi negara,” ujarnya.

Perkara tersebut diketengahkan beliau sempena Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak yang dihadiri lebih 3,000 perwakilan PAS dan Umno dari seluruh negeri ini dan berlangsung di Kompleks Umno Bahagian Bagan Datuk, di sini semalam.

Menurut beliau, Pemuda Muafakat Nasional akan mengadakan kajian terperinci mengenai hal tersebut dan akan memanjangkan solusi untuk mendesak kerajaan segera menangani isu ini secara lebih serius dan bukan sekadar gah beretorik.

Tegas beliau, anak muda sewajarnya digembleng tenaga, bakat dan kepakaran mereka sebagai aset masa depan serta kekuatan negara dan tidak boleh diabaikan, apatah lagi terjebak ke ruang pengangguran yang merugikan.

Kegagalan PH itu bidasnya, seiring dengan ancaman terhadap ganggu gugat ke atas kedaulatan agama Islam dan negara yang menjadi punca ketidakstabilan politik Malaysia pada ketika ini menyebabkan anak muda bangkit menentang.

Lebih parah katanya, tanpa datangnya penjajah, PH telah membiarkan warga asing memasuki negara ini dengan mudah, ketika sama tonggak negara yakni Perlembagaan dan Institusi DiRaja cuba digoncang mereka.

Nada sama turut disuarakan wakil Pemuda Umno Perak, Muhammad Sollehin M Tajaie mengenai kegagalan PH mengurus tadbir ekonomi serta banyak dasar-dasar negara yang penting untuk dipertegaskan dan dilaksanakan.

Selain menyentuh juga mengenai kepentingan berkaitan pengundi muda, beliau mengajak Pemuda Muafakat Nasional merangka strategi membina kualiti pengundi muda. – HARAKAHDAILY 26/1/2020