Virus Corona: Nyawa rakyat lebih utama

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) membidas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi yang menyifatkan tindakan sekatan ke atas pelancong China adalah bersifat diskriminasi ke atas mereka.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/649090/jangan-diskriminasi-pelancong-china

DPPNS bersetuju bahawa kepentingan industri pelancongan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara apabila Malaysia menyasarkan 30 juta ketibaan pelancong asing tahun ini selaras kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, dengan anggaran pendapatan sebanyak RM100 bilion. Namun dalam situasi semasa dari sudut aspek kesihatan dan kesalamatan nyawa ia adalah lebih utama untuk diberi perhatian.

Fenomena wabak Virus Corona ini menjadi kegusaran ramai pihak malah banyak desakan dari pelbagai pihak terhadap pihak Kerajaan Malaysia agar mengambil langkah yang lebih tegas dengan melakukan sekatan ke atas pelancong China dari memasuki negara ini.

Desakan tersebut bukan sekadar panik namun mempunyai asas yang dipertimbangkan apabila pihak Kerajaan China sendiri mengeluarkan perintah kuarantin ke atas 3 bandar iaitu Wuhan, Huanggang dan Ezhou yang menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang akan dikuarantin seramai kira-kira 20 juta orang.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/koronavirus-selepas-wuhan-bandar-huanggang-dalam-keadaan-berjaga-jaga-228850

Kerajaan Malaysia perlu lakukan sesuatu dengan pantas untuk mengambil pencegahan dari berlakunya sebarang kemudaratan yang lebih parah. Jangan hanya kerana laporan di atas kertas masih menunjukkan tahap belum kritikal, kita masih lena dengan membiarkan kemasukan pelancong China memasuki negara yang berkemungkinan boleh mengakibatkan wabak Virus Corona tersebar di kalangan rakyat.

Selain itu, DPPNS menyeru kepada semua rakyat agar menghadapi situasi ini dengan cermat dan hemat dengan sentiasa kemaskini maklumat berkenaan wabak ini untuk langkah pencegahan dari sumber yang berautoriti serta mengamalkan tip-tip kesihatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan dan pihak yang berautoriti bagi mengelakkan diri, keluarga dan masyarakat terjangkit.

DPPNS juga menyarankan agar semua umat Islam untuk mengadakan solat hajat dan berdoa kepada Allah S.W.T agar diberikan kesejahteraan dan perlindungan dari terkena musibah wabak yang sedang menular ini di negara kita khususnya.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 26/1/2020

Advertisement