Gantung warga Wuhan-Hubei masuk sedikit melegakan

PAS menghargai keputusan Perdana Menteri mengumumkan untuk menggantung sementara kemasukan rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya. Walaupun pengumuman pertama ini tidak merangkumi keseluruhan Negara China dan sudah terdapat ribuan rakyat China yang sudah keluar sebelum arahan berkurung, namun langkah ini dapat mengurangkan sedikit sebanyak kegusaran rakyat Malaysia sejak tularnya berita wabak ini. Ia selari dengan pandangan PAS bahawa bahawa trajektori jangkitan 2019-nCoV sukar untuk dijangkakan dan berupaya mencetuskan pandemik yang mungkin meragut ribuan nyawa di seluruh dunia.

PAS juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para netizen dan kakitangan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang telah menyatakan pandangan di Media Sosial. Pandangan membina ini sebenarnya penting di dalam menjaga kepentingan rakyat dan negara dan bukan atas sentimen politik seperti yang didakwa. Pada masa yang sama PAS merasakan penyebaran berita-berita palsu sememangnya perlu dibanteras dan dikawal. Ini merupakan pendirian PAS apabila ia mendukung Akta Berita Palsu yang telah di tarik balik oleh kerajaan hari ini.

Dengan langkah awal tersebut, PAS berharap agar sekatan lebih besar untuk pelancong dari daerah-daerah lain turut dipertimbangkan di masa hadapan sekiranya keadaan semakin kritikal.
 
Menurut Update 2 WHO Information Network for Epidemics bertarikh 24 Januari 2020, Emergency Committee tidak dapat memberi kata putus kepada Ketua Pengarah WHO sama ada perlu mengisytiharkan ‘public health emergency’ pada waktu ini. Malah, dalam temu ramah CNBC bersama Dr Eric Toner, internist and Emergency Physician turut tidak bersetuju dengan pandangan WHO yang tidak mengisytiharkan 2019-nCov sebagai ‘public health emergency’. Dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar serta pimpinan, tindakan pihak kerajaan yang memilih untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan negara harus dihargai. Kesimpulannya, isu kesihatan tertakluk kepada pilihan politik. Pilihan politik yang teguh dapat menghasilkan keputusan yang memihak kepada keselamatan nyawa rakyat melebihi kepentingan yang lain.

Lajnah Kesihatan PAS mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bertugas kepada kakitangan frontliner yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan pengawalan wabak 2019-nCoV ini. Tidak dilupakan seruan untuk sentiasa mengamalkan doa pelindung diri serta solat hajat bersama-sama demi memastikan rakyat Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya agar selamat daripada wabak di permulaan tahun 2020 ini.
 
DR. MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi
Lajnah Kesihatan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/1/2020

Advertisement