PAS Johor-PKS Kepri saling memperkuatkan

JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor menerima kunjungan ziarah mahabah daripada Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Wilayah Kepri Indonesia di Pejabat Perhubungan PAS Johor, di sini kelmarin.

Advertisement

Dalam lawatan ini, pimpinan PAS dan PKS saling bertukar pandangan dan nasihat antara satu sama lain dalam merapatkan ukhuwah antara dua gerakan Islam yang besar di Nusantara ini.

Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin menyatakan bahawa hubungan antara kedua pihak tidak dibatasi geografi, sebaliknya kuat diikat dengan mendukung kalimah Tauhid La Ilaha Illallah.

Demikian juga kata Bendahara PKS Kepri, Ustaz Ahmad Saichudin, betapa pertemuan seumpama ini penting untuk bertukar informasi serta menguatkan semangat antara satu sama lain agar istiqamah dalam perjuangan.

“Musuh tidak berhenti berusaha untuk menentang Islam, bahkan mereka saling menguatkan antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain asalkan ingin menentang kemaraan Islam.

“Justeru, gerakan-gerakan Islam juga perlu rapat dan bersaudara antara satu dengan yang lain agar tidak dikalahkan oleh musuh,” ujarnya.

PAS Johor diturut diwakili oleh Setiausaha, Ahmad Al Johari, dan beberapa pimpinan yang lain, manakala PKS Kepri disertai oleh Wakil Bendahara, Irwandi Ridwan dan Sekretaris Dewan Syariah, Ustaz M Yusuf bersama lima anggota lain. – HARAKAHDAILY 27/1/2020