PAS ringankan beban pesawah diuji Hawar Bulir

PARIT BUNTAR: PAS Kawasan Parit Buntar bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria telah menyantuni para pesawah dengan mengagihkan sumbangan kebajikan kepada golongan itu di Surau Haji Shamsuri, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Program bertujuan mengurangkan beban para pesawah dari Parit Haji Manan, Parit Haji Yusuf dan Parit Haji Shamsuri yang tidak mendapat hasil pada musim lepas disebabkan oleh serangan bakteria Panicleblight atau lebih dikenali sebagai Hawar Bulir.  

Yang DiPertua PAS Parit Buntar, Abdul Bahrin Mad Desa berharap agar semua mangsa bersabar dengan ujian dari Allah S.W.T dalam menguruskan perbelanjaan harian termasuk persekolahan anak-anak serta dalam persiapan bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Tambah beliau lagi, pihak PAS Parit Buntar akan berusaha sebaik mungkin bagi mengurangkan bebanan para pengusaha bendang ekoran daripada serangan bakteria tersebut.

Dalam pada itu, Razman Zakaria menyatakan bahawa beliau akan membawa isu ini dalam Sidang DUN Perak bagi mengusahakan tindakan susulan ekoran masalah ini. – HARAKAHDAILY 27/1/2020