Tutup pusat pelancongan dan anjur solat hajat

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa bertegas menutup semua pusat pelancongan yang menjadi kunjungan pelancong luar sebagai langkah mengelakkan penularan wabak virus Corona.

Walaupun kerajaan menjelaskan virus yang sedang menyerang di beberapa negara itu masih terkawal, namun Malaysia wajib bertindak menghalang penularan wabak terbabit termasuk menggunakan undang-undang negara sedia ada.

Membangkitkan kebimbangan mengenai risiko penularan wabak berbahaya ini, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, tiada jaminan bahawa virus Corona tidak akan menyerang rakyat di negara ini.

“UMMAH menegaskan nyawa rakyat lebih penting daripada segala- galanya, dan pemimpin negara wajib bertindak segera dengan penuh bijaksana dan tidak hanya perlu tunggu dan lihat dahulu, baru bertindak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut menyarankan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri menganjurkan solat hajat di seluruh negara pada hari Jumaat ini sebagaimana disarankan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zukifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam kenyataan sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan setakat ini empat kes membabitkan pelancong Wuhan yang berada di negara ini dikesan positif virus Corona.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan belum merancang untuk melarang kemasukan pelancong dari Wuhan, China ke negara ini kerana jangkitan wabak ini masih belum sampai tahap kritikal.

Malah, Kerajaan China telah mengambil langkah keselamatan dengan menyekat laluan dua hala penerbangan dari Wuhan, China ke destinasi yang sedang dilanda wabak baharu ini.

Kebanyakan negara dipercayai sudah mengambil langkah berjaga-jaga dengan serius berikutan wabak bahaya ini belum pernah dikenali sebelum ini.

Antaranya Filipina telah menghantar pulang 500 pelancong China yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kalibo seperti dilaporkan portal berita CNN pada 24 Januari.

Pengarah Eksekutif Lembaga Penerbangan Awam, Carmelo Arcilla berkata pengangkutan udara Royal Air Charter dan Pan Pasific Airline mengusir semula pengunjung ke Wuhan.

Dilaporkan juga, pesawat tersebut kembali ke Kalibo tanpa penumpang. – HARAKAHDAILY 27/1/2020



Advertisement