Virus Corona: Hikmah menurut perspektif Islam

MENELUSURI hubungan antara suruhan makan makanan yang baik-baik lagi halal dengan amalan sembelihan yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T dalam agama Islam. Dua mafhum dari petikan ayat-ayat suci al-Quran dari surah al-Baqarah dan surah al-Maidah di bawah menjelaskan bahawa terdapat hikmah agung yang Allah sampaikan kepada kita melalui ujian-ujian yang diturunkan. Mafhum surah-surah tersebut adalah seperti berikut.

Advertisement

“Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di atas bumi dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”
(al-Baqarah: 168)

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya.”
(al-Maidah: 3)

Intipati kepada dua ayat al-Quran ini, boleh dilihat dari tiga sudut. Pertama, Allah mengajak manusia agar makanlah makanan yang halal dan baik. Kedua, ilmu sains telah membuktikan kenapa Islam mengharamkan sebahagian binatang untuk dimakan dan ketiga Allah Maha Mengetahui segala direncanakan-Nya.

Kita adalah apa yang kita makan, kita adalah apa yang kita lakukan, kita adalah apa yang kita katakan dan kita juga adalah apa yang kita fikirkan.

Justeru, makanlah apa yang dihalalkan dalam oleh agama, lakukanlah apa yang disuruh oleh agama, katakanlah apa yang digalakkan oleh agama dan fikirkanlah tentang apa yang telah digariskan oleh agama.

Sesungguhnya agama itu adalah jalan yang paling selamat untuk penganutnya dalam menelusuri jalan-jalan kehidupan. Bukannya dengan bertuhankan tuntutan rasa hati, nafsu dan perasaan yang banyak dipengaruhi oleh logik akal. Bak kata pepatah, ikut rasa binasa, ikut hati mati dan ikut nafsu lesu. Namun, sekiranya ikut agama hidup pasti akan aman sejahtera sampai ke syurga.

USTAZ WAN MOHD HANIF SAIFUDDIN WAN AHMAD
Pengerusi Lajnah Dakwah
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 27/1/2020