Virus Corona: Perlu sinergistik basmi bersama

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengikuti rapat perkembangan isu wabak novel Virus Corona (n-COV) yang kini telah dikenalpasti pada lebih 1400 orang dan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 42 kematian di China. Malaysia telah mencatatkan 4 kes positif, semuanya pelancong dari Wuhan, China.

Pemuda PAS memohon agar rakyat Malaysia bertenang dan berikan kepercayaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang pastinya telah dan akan terus merujuk kepada barisan pakar dalam bidang yang berkaitan dalam menguruskan kes-kes positif n-COV dan apa sahaja kemungkinan pada masa akan datang. Rakyat perlu menyaring banyak berita yang tular di media sosial kini yang tidak diketahui sumber kesahihannya.

Kita maklum akan hasrat KKM yang akan merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri berkenaan pengawalan pelancong China ke dalam negara. Ada di kalangan pembawa virus n-COV ini, tidak mempunyai sebarang gejala sebagaimana 3 kes pertama di Malaysia menyebabkan pengenalpastian kes ini menjadi lebih sukar. Pemuda PAS berharap kerajaan akan terus mendapatkan pandangan pakar dalam perihal ini dan meletakkan kebajikan rakyat sebagai satu keutamaan. 

Selain itu, Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia mengamalkan amalan menjaga kebersihan bagi mengelakkan penyebaran virus berkenaan seperti mengelakkan diri ke kawasan awam yang sesak jika tidak perlu, memastikan daging dan telur dimasak dengan sempurna, mengelakkan daripada menyentuh haiwan liar atau ternakan tanpa perlindungan, menutup mulut jika batuk atau bersin serta kerap membasuh tangan. 

Pemuda PAS Malaysia dengan ini juga mengarahkan agar semua Dewan Pemuda PAS Kawasan melaksanakan solat hajat di setiap kawasan masing-masing bagi memohon kepada Allah agar wabak ini dapat dihapuskan dalam kadar yang segera.

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 27/1/2020

Advertisement