Cuaca panas dan Virus Corona


عن ابن عباس – رضي الله عنهما – ، قال : قال رسول الله – صلى الله عليه وآله وسلم – : ” إياكم والجلوس في الشمس فإنها تبلي الثوب ، وتنتن الريح ، وتظهر الداء الدفين

“Daripada Ibnu Abbas R.A berkata, sabda Rasulullah S.A.W: “Aku memberi amaran pada kalian, usah berjemur ketika terik matahari kerana ia akan melunturkan (warna) pakaian, tiupan angin yang tercemar (kotor), akan terzahir penyakit yang tersimpan di dalam perut bumi”.”

(Hadith riwayat Imam Hakim fi Mustadrak)

Advertisement


Hadith ini menyebutkan 3 kesan buruk akibat cuaca panas;

(i) Lunturnya warna pakaian.

Kalaulah baju pun akan terkesan, apatah lagi sendi-sendi manusia juga yang kehabisan air untuk terkena strok haba. Waktu yang berbahaya adalah sekitar jam 11 pagi hingga 3 petang.

(Boleh rujuk berkenaan strok haba)

(ii) Tiupan angin yang kotor.

Keadaan kehidupan di kota-kota yang dipenuhi asap kenderaan, kilang-kilang dan kurangnya tumbuhan menghijau, ditambah dengan cuaca yang panas menjadi pemangkin untuk tiupan angin yang tercemar. Waktu tengahari pula adalah ‘peak hour’ orang ramai keluar makan dan urusan luar. Berhati-hatilah.

(iii) Keluarnya penyakit dari perut bumi

Musim kemarau adalah kesan daripada kepanasan yang berpanjangan dan ketiadaan bumi menerima air hujan dalam tempoh yang panjang, juga menerimanya dengan jumlah yang tidak mencukupi untuk bumi. Lalu bumi tetap memuntahkan isinya, tetapi yang keluar bukan lagi air-air yang mengalir di sungai-sungai, tetapi bersamanya virus penyakit;


“Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.”

(Al-Mu’minūn: 18)


Ditambah pula dengan sifat manusia yang digazetkan oleh Allah melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi. Muncullah wabak-wabak (taun) yang tidak pernah wujud sebelum ini seumpama wabak Corona dan lain-lain. Maka sebab itulah tempat yang dijangkiti virus berjangkit dijanjikan Nabi S.A.W dengan pahala syahid.

Sejarah Islam memaparkan antara Sahabat Baginda S.A.W yang syahid bukan di medan perang adalah Abu Ubaidah Amir Al Jarrah yang terkena wabak taun pada zaman Saidina Umar Al Khattab di Syam.

Kesimpulan:

(1) Dalam keadaan cuaca panas ini, patuhilah apa jua nasihat pihak berwajib, seperti tidak keluar pada waktu tersebut, banyak minum air, memakai topeng mulut dan lain-lain.

(2) Bagi tempat yang sudah dijangkiti virus, ikutilah saranan Baginda S.A.W iaitu untuk tidak keluar, dan juga tidak pula masuk ke dalamnya. Redha dan terima hakikat ketentuan Allah, serta berilah kerjasama pada pihak yang bertugas untuk melakukan tindakan yang sepatutnya.

Moga Allah selamatkan dan lindungi kita semua.

Boleh juga mendengar kupasan oleh Al Fadhil Ustaz Hanafiah berkenaan topik ini;

https://youtu.be/EECPefSvJno

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 28/1/2020