Gelombang ketiga pacu kempen BMF

UMMAH akan terus memacu usaha memperhebatkan kempen Beli Produk Muslim, Buy Muslim First bagi tahun 2020.

Bagi pertengahan tahun 2019 selepas kempen BMF dilancarkan pada bulan Julai di seluruh negara, kesan besar jualan telah dirasai oleh banyak pengusaha dan usahawan Muslim sehingga telah berjaya meningkatkan jualan mereka melebihi 80 peratus hingga 200 peratus.

Sasaran bagi tahun 2020, UMMAH akan terus bergerak bagi memberi kesedaran kempen menyatukan kuasa beli Muslim berjumlah hampir 19 juta pengguna di negara ini.

UMMAH juga berusaha untuk menyatukan usahawan dan pengeluar Muslim supaya berada dalam rantaian perniagaan dan pengguna Muslim.

Pengguna mestilah terus kekal istiqamah dalam membantu membeli produk Muslim, manakala pihak usahawan perlu berusaha melengkapi kehendak dan keperluan pengguna dengan harga yang berpatutan.

UMMAH juga akan terus menyokong usaha pelbagai pihak bagi menjayakan kempen BMF ini termasuk di antaranya Koperasi Kohilal yang telah melancarkan Kohilal Mart di seluruh negara pada 9 Januari yang lepas.

UMMAH juga menyokong usaha pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang telah mengadakan prapelancaran Malakat Mall di Cyberjaya pada 19 Januari yang lalu, serta Pertubuhan Ekonomi Muslim Malaysia yang juga telah melancarkan pra-pembukaan (pre-opening) Muslim Factory Hub yang diuruskan oleh Pasaraya M-Eimani di Shaftsbury Putrajaya.

Dijangkakan pelancaran Kohilal Mart zon Timur akan dibuat pada pertengahan Februari nanti bertempat di Terengganu dengan kerjasama beberapa NGO ekonomi negeri Terengganu.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi UMMAH – HARAKAHDAILY 29/1/2020

Advertisement