Laknat Allah ke atas Trump dan Netanyahu

TERKINI beberapa jam lalu Presiden Amerika Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah memasyhurkan ‘Pelan Damai’ yang sungguh celaka ke atas tanah tempat kiblat pertama umat Islam iaitu Palestin dan Baitulmaqdis.

Trump dan Netanyahu – yang kedua-duanya berada dalam kedudukan terdesak dalam politik negara masing-masing – dengan begitu hina sekali bertepuk tangan sambil saling puji memuji antara satu sama lain dengan pemasyhuran pelan damai yang sebenarnya adalah ‘penjajahan Israel’ bertopengkan tema ‘Vision for Peace’ ke atas bumi Palestin itu.

Dalam pelan itu, Amerika mengiktiraf bahawa Baitulmaqdis sebagai ibu negara milik mutlak Israel (‘Jerusalem will remain the sovereign capital of the State of Israel, and it should remain an undivided city’).

Amerika mengiktiraf seluruh tanah Palestin yang dijajah secara haram oleh Israel sebagai milik ‘berdaulat Israel’.

Hal ini bermakna bukan sahaja tanah Palestin yang dirampas Zionis selepas Perang 1948 dan 1967 sahaja yang diiktiraf sebagai milik berdaulat Israel, tetapi juga seluruh petempatan haram Yahudi di Tebing Barat Palestin.

Haram al-Sharif diiktiraf sebagai di bawah kekuasaan Israel semata-mata, dengan kuasa memberi izin untuk beribadat terletak di tangan Zionis.

Wilayah perairan diiktiraf sebagai milik berdaulat Israel (The State of Israel will retain sovereignty over territorial waters).

Pelan celaka ini juga menjamin dengan tegasnya bahawa petempatan haram Yahudi Zionis di tanah milik umat Islam Palestin tidak akan diapa-apakan.

Negara haram Israel juga akan merampas Lembah Jordan (Jordan Valley) sebagai wilayah mereka (‘The Jordan Valley… will be under Israeli sovereignty’).

Pelan tajaan Zionis ini bukan sahaja menyerahkan wilayah Palestin yang dijajah Zionis kepada Israel, malah juga menegaskan bahawa sekatan akan terus dikenakan ke atas Gaza selagi mana Hamas dan Jihad Islam Palestin memiliki senjata.

Di bawah Seksyen Sembilan Belas pelan tajaan Zionis ini, negara Palestin mesti bekerjasama dengan Israel untuk memerangi Iran, Hamas, Hizbullah, dan Daesh (ISIS).

Dua jalan akses Palestin-Jordan hanya boleh dibina di bawah kawalan pihak keselamatan Zionis Israel.

Proses pemetaan sempadan akan dibuat berdasarkan sistem kehakiman Israel (the drawing of borders…within the Israeli judicial system).

Seksyen Tujuh pelan tajaan Amerika-Zionis ini jelas menggesa supaya sebarang angkatan bersenjata Palestin dibubarkan demi keselamatan Israel dan pasukan polis Palestin akan ditubuhkan dengan ‘bimbingan’ Israel supaya keselamatan Zionis itu terjamin.

Rejim haram Israel diberi hak untuk meningkatkan penguasaan tentera mereka ke atas wilayah Palestin bila-bila masa sahaja jika mereka menganggap adanya ancaman yang wujud.

Rejim haram Israel diberi hak untuk membina stesen amaran awal dalam wilayah Palestin. Akses tanpa had diberi kepada tentera rejim haram Zionis untuk keluar masuk wilayah Palestin untuk akses stesen ini.

Rejim haram Zionis diberi hak untuk menghantar kapal udara dan dron ke dalam wilayah Palestin.

Sebarang pembinaan di wilayah antara Baitulmaqdis dengan Al-Quds (mana-mana ibu negara Palestin) tertakluk di bawah penguasaan rejim Zionis Israel.

Dalam Seksyen Lapan, segala proses pembuatan akan dikawal demi keselamatan rejim haram Zionis Israel.

Di bawah Seksyen Sembilan, Hamas dan Jihad Islam tidak akan diterima untuk berkuasa dalam kerajaan Palestin selagi mana mereka tidak mengiktiraf seluruh entiti haram Zionis Israel.

Seluruh tentera Israel yang ditangkap oleh Palestin mesti dibebaskan dan dikembalikan kepada pihak rejim Zionis Israel.

Dalam Seksyen Kedua Puluh, Palestin dipaksa mengakui Israel sebagai negara bangsa Yahudi.

Dalam Seksyen Kedua Puluh Dua, Palestin diharamkan daripada mana-mana pertubuhan organisasi antarabangsa tanpa izin rejim haram Israel.

Dalam Seksyen Kedua Puluh Dua juga, Palestin diharamkan daripada mengambil sebarang tindakan ke atas Israel dan Amerika di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan tribunal-tribunal lain.

Seksyen Kedua puluh Dua juga mengharamkan Palestin daripada mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas Amerika dan Israel di Interpol atau mana-mana sistem undang-undang selain Amerika dan Israel.

Segala urusan pelancongan di Bandar Lama Baitulmaqdis berada di bawah kekuasaan Zionis Israel.

Dengan angkuhnya, Trump dan Netanyahu memberi amaran bahawa pelan ini adalah satu-satunya cara untuk Palestin diiktiraf menjadi sebuah negara yang merdeka – dengan syarat Palestin mesti menerima kesemua cadangan pelan yang tidak masuk akal ini.

Mengikut pelan hina Amerika-Israel ini, untuk diiktiraf menjadi negara yang merdeka, Palestin mesti mengiktiraf tanah miliknya yang dirampas Zionis melalui Perang 1967 sebagai milik Israel.

Mengikut pelan hina Amerika-Israel ini juga, untuk diiktiraf menjadi negara yang merdeka, Palestin mesti mengiktiraf bahawa Baitulmaqdis adalah sepenuhnya milik Israel yang berdaulat.

Pelan yang turut dikarang menantu Trump yang pro-Zionis, Jared Kushner ini bahkan menghina seluruh umat Islam dengan mencadangkan mana-mana wilayah terpinggir di Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Hakikatnya jelas bahawa pelan rekaan Zionis-Amerika ini adalah bertentangan dengan Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB yang mewajibkan Israel untuk memulangkan semula wilayah Palestin yang dirampas melalui Perang 1967.

Pelan tajaan Amerika dan Zionis ini adalah susulan daripada Pelan Ekonomi sebelumnya iaitu ‘Middle East Peace Economic Plan’ yang dibentangkan di Bahrain tahun lalu.

Hakikatnya, pelan Ekonomi Trump itu hanyalah ibarat cubaan merasuah pemimpin Palestin supaya menjual Baitulmaqdis dengan harga pelaburan USD50 bilion untuk dijadikan ibu negara Israel tanpa diganggu-gugat oleh umat Islam Palestin.

Pelan tajaan Zionis-Amerika ini juga tidak segan silu turut mencadangkan kerjasama ketenteraan Israel dengan Palestin, Mesir, Arab Saudi, Jordan, dan UAE bagi memerangi Iran.

Buat masa ini, seluruh pemimpin Palestin sama ada daripada PLO mahu pun Hamas menolak keras segala pelan tajaan Trump yang disokong kuat Netanyahu ini. Begitu juga dengan Iran yang lantang mengkritik pelan tersebut.

Hairannya, ada negara-negara Arab yang sebaliknya menyokong pelan tajaan Amerika pro-Zionis ini.

Semoga Allah melindungi para pejuang-Nya yang mempertahankan bumi Palestin dan membinasakan rejim penjajah yang menjajah beserta anjing-anjing peliharaan mereka.

Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 29/1/2020

Advertisement