Dunia Islam mesti kecam Pelan Damai Trump

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa semua pemimpin negara-negara umat Islam untuk bangkit bersuara membantah dan mengecam tindakan Presiden Amerika, Donald Trump yang terus menjajah wilayah Palestin apabila menjadikan seluruh petempatan haram Yahudi di Tebing Barat Palestin sebagai milik berdaulat Israel.

Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu awal pagi tadi memasyhurkan Pelan Damai ke atas wilayah Palestin di atas nama ‘Vision for Peace’. Hakikatnya pelan tersebut merupakan penjajahan bukannya perdamaian ke atas wilayah Palestin. Ia bersifat semata-mata berkepentingan bagi Yahudi Zionis yang bertapak secara haram di negara itu sejak sekian lama.

DUPP mengutuk tindakan tidak bermoral Trump tersebut kerana salah guna kuasa sebagai kuasa besar dunia dengan terus menerus mencabuli tanah suci bagi umat Islam itu. Pelan Damai tersebut sebenarnya adalah bertentangan dengan Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB yang mewajibkan Israel memulangkan semula wilayah Palestin yang dirampas melalui Perang 1967.

Tindakan Trump tersebut hanya menunjukkan keegoan beliau dalam menjayakan perancangannya untuk terus mendaulatkan negara haram Israel secara terancang apabila pada Disember 2017 yang lalu beliau telah mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Tindakan Trump tersebut hanyalah bersifat politikus yang mahu meraih sokongan dari pelobi-pelobi Yahudi menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika yang dijadualkan pada November 2020.

Isu yang berlaku di tanah Palestin ini, mesti dipandang serius oleh umat Islam. Ia bukan isu sekadar dalam lingkungan geografi yang hanya melibatkan bangsa Arab, namun padanya kesucian Baitul Maqdis yang menjadi kiblat pertama umat Islam serta tanah berlakunya peristiwa agung Isra’ dan Mikraj.

Pemimpin-pemimpin negara Islam mesti bangkit mengambil sesuatu tindakan dalam isu yang melibatkan penjajahan ke atas wilayah Palestin sejak Mei 1948 lagi. Umat Islam tidak boleh lagi terperangkap dalam percaturan musuh Islam sehingga menghabiskan masa pada masalah sekitar sektarian mazhab sehingga lemahnya kesatuan umat Islam.

Umat Islam mesti mengambil pengajaran dari peristiwa sejarah Pemberontakan Arab yang berlaku pada Jun 1916 yang mengakibatkan Dunia Islam lemah dan berpecah kerana menjadi buah catur kepada musuh. Jangan ada umat Islam yang menjadi boneka Amerika sehingga sanggup mengadakan perjanjian semata-mata kepentingan dunia, pangkat dan harta.

DUPP menegaskan bahawa Dunia Islam pada hari ini kena jelas musuh sebenar iaitu Amerika yang berada di belakangnya adalah Yahudi Zionis dalam merencanakan pelbagai agenda termasuklah pencabulan dan penjajahan ke atas wilayah Palestin sehingga ke hari ini.

Firman Allah S.W.T:

Advertisement


وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡیَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَىِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَاۤءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِی جَاۤءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِیࣲّ وَلَا نَصِیرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.”


[al-Baqarah: 120]


Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 30/1/2020