K’jaan baharu secara bermaruah, ikut undang-undang

LAUNGAN amaran Ketua PAN Bukit Katil, Mohd Sofi Abdul Wahab mengenai isu perancangan menukar kerajaan jelas menggambarkan kebimbangan yang sangat merengsa dialaminya. Sofi sendiri mengakui ianya desas desus dan akan berlaku secara tidak demokratik, menunjukkan betapa gelisahnya beliau kini tidak ubah seperti takutkan bayang-bayang sendiri.

Advertisement

Perkara sedang menghantuinya dan mungkin sebahagian besar anggota Pakatan Harapan itu seeloknya dicerminkan kepada diri sendiri. Jika benar wujud rancangan tersebut, ia pastinya secara sulit dan sepatutnya lebih gelabah adalah pihak yang gambar itu ‘terbongkar’? Tetapi mengapa Sofi pula yang bernada seperti dilanda demam?

Celaru, keliru dan tidak keruan sekali Sofi hingga tidak dapat memberi justifikasi terhadap gambar yang dimuatnaik secara terbuka oleh pemimpin tertinggi PH sendiri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yakni juga individu sedang menerajui pemerintahan negara ketika ini. Atau suara Sofi sebenarnya mewakili rakan PH yang lain terutama DAP?

Apakah Sofi lupa, mandat rakyat yang diperolehi ketika ini lebih banyak didominasi DAP dengan menghambat PRU14 lalu menerusi fitnah adu domba disusuli kejayaan mencapai pemerintahan, tetapi menipu dan gagal memenuhi janji kepada rakyat. Ya, pokok tidak bergoyang jika ditiup angin, kecuali ada beruk menghinggutnya, tetapi kenapa Sofi pula yang goyang?

Sofi tidak perlu untuk mengeluarkan amaran sedemikian yang menampakkan seperti orang sakit mental itu. PH sebenarnya yang telah menang secara tidak bermoral dan tidak bermaruah. Pihak bukan kerajaan kini terutama PAS tidak akan sama sekali melakukan perkara sama atau membentuk kerajaan secara tidak bermoral dan tidak bermaruah.

Sebagai salah seorang anggota pentadbiran kerajaan, Sofi telah menunjukkan kecetekan akal dalam mendalami perundangan negara yang memustahilkan perkara tersebut berlaku atau menjadi sah. Hanya mereka yang bermentaliti tidak bermoral dan tidak bermaruah seperti PH sahaja akan dihantui hal seperti itu kerana mempunyai strategi jahat untuk mengekalkan kuasa.

Lalu ketakutan tidak dapat dibendung lagi hingga meracau sebagaimana diulas itu. Jangan membayangkan orang lain jahat sepertimana jahatnya diri, jangan dituduh pihak lain melakukannya, sepertimana diri sendiri membuatnya. PAN langsung tidak layak bercakap soal integriti kerana parti itu sendiri tertubuh dari pengkhianatan.

Ada baiknya Sofi menumpukan hal ehwal negeri dan memastikan jaminan untuk ahli-ahli keluarganya mengukuhkan kedudukan di jawatan-jawatan sedang dipegang dalam kerajaan serta agensinya. Paling utama terhadap rakyat yang kini berhadapan catuan air di mana sangat menyukarkan urusan harian. Jangan menampakkan gopoh di usia kemenangan PH belum dua tahun, tetapi terkinja-kinja seperti kerajaan sudah roboh.

Hakikatnya Sofi sendiri sedang membayangkan betapa sesama anggota PH sedang wujud perasaan saling curiga dan tidak percaya. Tapi akan paling malang dari semua itu apabila menatijahkan kegagalan melaksanakan mandat yang telah diberi. Jika bermoral dam bermaruah, baik letak sahaja jawatan serah kembali mandat kepada rakyat. Sofi berani?

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

USTAZ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 30/1/2020