Peace to prosperity: Pelan damai cara jahat

LATAR belakang DOTC

(1) Pada 25 Ogos 2019, Media Open Democracy menyiarkan artikel yang bertajuk ‘The Deal Of The Century Is Already On The Ground Before Being On Paper’ tulisan Yara Zarir.

Beliau menyatakan bahawa DOTC seolah olah melakar Palestin Baru, yang melibatkan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

(a) Manakala sebahagian Sinai akan dipajak dari Mesir untuk kepentingan Palestin Baru di mana lapangan terbang dan zon perindustrian akan diwujudkan.

(b) Di samping itu, koridor darat akan dibina di antara Gaza dan Tebing Barat untuk menghubungkan kedua-dua wilayah itu.

(c) Pada masa yang sama, Tebing Barat akan dihubungkan dengan Jordan melalui Lembah Jordan dengan dua lintasan.

(d) Lembah Jordan sendiri masih berada di bawah kawalan Israel, dan akan ‘dilampirkan’ sekali dengan negara haram Israel.

Realitinya, apa yang dicadangkan ini, adalah pembersihan penduduk Palestin dari wilayah Gaza, dan memberikan lebih kuasa kepada Israel untuk kawalan ke atas Tebing Barat.

(2) Hal yang sama diceritakan di dalam artikel yang bertajuk ‘Deal Of The Century Will Not Work’ tulisan Professor As’ad Abd Rahman terbitan Gulf News pada 11 Julai 2019.

Pelan Damai Amerika

(1) Antara berita yang agak panas pada hari ini ialah sebuah proposal setebal 181 halaman, yang bertajuk ‘Peace To Prosperity: A Vission To Improve The Lives Of Palestinian And Israeli People’.

Ia dilancarkan oleh Donald Trump baru baru ini. Bahasa mudahnya ia adalah sebahagian gambaran yang jelas untuk menjayakan agenda Deal Of The Century.

(2) Dokumen ini mempunyai 22 Section pada bahagian pertama. Ia dimulakan dengan menggambarkan Perjanjian Oslo pada 1993.

Ia ditandatangani oleh Mahmoud Abbas yang mewakili Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) atau orang Palestin dan Shimon Peres yang mewakili Israel. [1]

Hal ini disaksikan oleh Warren Christopher dari Amerika dan Andrei Kozyrev dari Rusia, di hadapan Presiden Amerika ketika itu Bill Clinton, Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin dan Pengerusi PLO Yasser Arafat.

(3) Walaupun demikian, Perjanjian Oslo ini tidak membawa kepada keamanan. Selepas menggambarkan secara ringkas Perjanjian Oslo, Proposal ini menggambarkan ke arah merealisasikan projek Two State Solution.

Hal ini dibentangkan oleh Trump [2] semalam ketika melancarkan Proposal ini. Projek Two State Solution ini sejak ditubuhkan lagi tidak dipersetujui oleh Palestin.

(4) Ini kerana ia ada pelan penindasan secara halus terhadap rakyat Palestin sendiri. Nasib yang sama menimpa Proposal Trump apabila Al Jazeera hari ini menyatakan bahawa penolakan Presiden Palestin menolak projek ini [3].

Mungkin faktor terbesar kenapa proposal ‘bagai nak rak’ ini ditolak, iaitu perbincangan ini tidak melibatkan Palestin. Hanya antara Amerika dan Israel semata mata.

Kecaman

(1) Hari ini juga Al Jazeera menyiarkan kenyataan seorang aktivis Palestin yang bernama Fakhry Abu Diab;

“Sudah jelas bahawa Trump cuba mengulangi sejarah dengan membentuk Deklarasi Balfour yang baru. Trump memberikan apa yang tidak dimilikinya, kepada orang yang tidak berhak kepadanya”.

(a) Mahmud Abbas pula dengan jelas mengulangi kenyataannya bahawa Palestin mengatakan ‘tidak’ kepada projek Deal Of The Century, dan Palestin tidak akan melutut menyerah.

(b) Manakala Jared Kushner pula menyatakan bahawa ini adalah ‘peluang terakhir’ yang diberikan. Seolah olah Amerika cuba menekan dan mendesak Palestin.

(c) Manakala di sebelah Gaza pula Jurucakap HAMAS mengatakan bahawa idea tersebut tak masuk akal. Beliau menyatakan;

“Kenyataan Trump mengenai Jerusalem adalah tidak masuk akal dan Jerusalem akan sentiasa menjadi tanah bagi rakyat Palestin … Palestin akan menghadapi perjanjian ini dan Jerusalem akan kekal sebagai tanah Palestin,”

(d) Hesameddin Ashena yang merupakan penasihat Presiden Iran, Hassan Rouhani, menyatakan bahawa perancangan ini adalah deal antara Zionis dan Amerika.

(2) British dan Israel menyambut pelan ini dengan baik. Projek itu sudah sememangnya memberi kepentingan Barat bagi menguasai Asia Barat, melalui penubuhan Israel Raya.

Pelan tak masuk akal

(1) Proposal yang ingin dijayakan ini juga secara kasar, antaranya ingin menjadikan Laut Mati sebagai sebuah resort untuk menarik pelancong luar.

Dasar ekonomi digariskan mengikut pelan Trump yang sentiasa dicurigai. Antara yang disentuh ialah bekalan air atau pusat rawatan air, pelabuhan dan sebagainya.

(2) Cuma, antara yang menjadi keraguan terhadap projek tersebut ialah Amerika menghubungkan negeri negeri yang masih dikuasai oleh Palestin melalui jalan terowong.

Strategi ini agak mencurigakan dan rasanya perlu dikaji dan diteliti. Antara risiko sekiranya pelan ini dilaksanakan, ialah konsep Divide And Rule.

Iaitu memisahkan antara Tebing Barat dan Gaza, kemudian dihubungkan melalui jalan terowong sahaja. Perancangan yang kelihatan janggal.

(3) Memang tak masuk akal. Tetapi Amerika cuba sedaya upaya menggambarkan ia adalah projek keamanan, dan bagi meraikan kedua dua belah pihak kononnya.

(4) Proposal tersebut jelas dilihat berat sebelah. Seolah olah memaksa Palestin untuk tunduk kepada Amerika. Pelan tersebut mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

Tanah tanah yang ‘dirampas’ juga akan diserahkan kepada Israel secara rasmi, termasuk di kawasan Tebing Barat. Bermakna Israel akan berdiri sebagai sebuah negara rasmi.

Mengiktiraf Israel

(1) Antara yang dinyatakan pada halaman 7;

(a) Israel menjadi sebuah negara-bangsa yang sah untuk bangsa Yahudi dan untuk status itu diiktiraf di seluruh dunia.

(b) Visi ini bertujuan untuk mencapai pengiktirafan bersama Negara Israel sebagai negara bangsa Yahudi, dan Negara Palestin sebagai negara bangsa rakyat Palestin, dalam setiap kes dengan hak sivil yang sama bagi semua warga di kedua-dua tempat.

(c) Visi ini bertujuan untuk mencapai pengiktirafan oleh dunia dan normalisasi dengan negara-negara yang belum ada hubungan atau yang sudah mempunyai hubungan dengan Negara Israel begitu juga Negara Palestin.

(2) Pada halaman 9 menggambarkan bagaimana proposal ini memaksa Palestin untuk ‘melepaskan’ Baitul Maqdis kepada Israel sebagai tempat yang terbuka untuk mana mana agama.

Pada halaman 12, menyatakan bahawa mana mana rakyat Palestin yang berada di dalam zon Israel boleh memohon untuk menjadi warganegara Israel, ataupun mungkin terpaksa berpindah (halau).

(3) Pada halaman 39, menggariskan beberapa perkara berikut kepada rakyat Palestin;

(a) Menahan diri dari sebarang percubaan untuk menyertai mana-mana organisasi antarabangsa tanpa persetujuan Negara Israel;

(b) Tidak mengambil tindakan, dan akan menolak semua tindakan yang belum selesai, terhadap Negara Israel, Amerika Syarikat dan mana-mana warganegara mereka sebelum Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dan semua tribunal lain;

(c) Tidak boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana warganegara Israel atau Amerika Syarikat melalui Interpol atau mana-mana sistem perundangan selain Israel atau Amerika.

Tawaran Trump di era Dajjal

(1) Part B dalam proposal tersebut bertajuk Economic Framework yang menyenaraikan strategi untuk meningkatkan ekonomi Palestin dan tawaran tawaran luar biasa.

Dari segi pelancongan, sumber tenaga, ekonomi, trading, pendidikan, gaya hidup, kesihatan, pembangunan, jalanraya, infrastruktur dan banyak lagi.

(2) Pada halaman 29 (Part B) Proposal Trump ini menyatakan;

(a) ‘Keamanan untuk kemakmuran’ memberikan visi bagi masyarakat Palestin yang makmur dan disokong oleh sektor swasta yang teguh, sebuah masyarakat yang berkuasa, dan kerajaan yang berkesan.

Ia menunjukkan potensi keamanan ditambah pelaburan, dan bagaimana kejayaan ini boleh dicapai menerusi program khusus yang disokong oleh portfolio projek yang boleh direalisasikan.

(b) ‘Keamanan untuk kemakmuran’ adalah pelan yang realistik dan boleh dicapai serta boleh dilaksanakan oleh rakyat Palestin, dengan sokongan masyarakat antarabangsa, bagi membina masa depan yang lebih baik untuk Palestin dan anak-anak mereka.

Melalui wawasan ini, Tebing Barat dan Gaza dapat memberikan masa depan maruah dan peluang bagi rakyat Palestin.

(2) Visi yang terutama dalam Pelan Ekonomi ala Trump ini ialah;

“Untuk mengubah dan memperbaiki kehidupan rakyat Palestin dan rakyat rantau ini dengan melancarkan pertumbuhan ekonomi, membuka peluang kepada manusia, dan meningkatkan tadbir urus Palestin berikutan perjanjian damai”.

(3) Tawaran yang super hebat ini menjanjikan keamanan buat Palestin, tapi disyaratkan dengan menggadaikan tanah dan negara mereka kepada Israel.

Seakan akan tawaran Dajjal. Di saat kemarau melanda, Dajjal mengelilingi bumi menawarkan bekalan makanan dan kehidupan yang goyang kaki.

[1] Jurnal yang ditulis oleh Mohd Roslan Mohd Nor dan Siti Zaleha Hamzah yang bertajuk Perjanjian Oslo: Kajian Terhadap Proses Damai Konflik Arab-Israel

[2] https://youtu.be/zJH34hXkgCQ

[3] http://www.aljazeera.com/amp/news/2020/01/trump-unveil-israeli-plan-latest-updates-200128132737854.html

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 30/1/2020

Advertisement