Pelan damai penipu besar

PENIPU besar’ yang tidak dipercayai di negara sendiri mengemukakan pelan damai untuk Palestin. Tidak perlu disebut namanya kerana sudah terkenal, rakyat yang memilihnya sudah pun keluh kesah, bukan sahaja menipu rakyat yang sedang berusaha memecatnya, bahkan tindakannya menyusahkan negara sendiri.

Advertisement

Persoalannya, bagaimana dia boleh dipercayai membawa pelan damai dalam isu yang paling besar dan paling zalim dalam sejarah manusia?

Langkah seterusnya akan dilakukan oleh ‘perompak bumi Palestin’ yang diiktiraf tanpa maruah kemanusiaan oleh penjajah dahulu setelah berjaya menjajah bangsa yang ditakluknya. Mereka berlindung di bawah undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia ciptaan sendiri, demi kepentingannya sahaja tanpa mengira bahawa manusia seluruhnya adalah bersaudara dalam satu keluarga besar.

Tiba-tiba negara dan bangsa yang dijajah tersebut dibahagikan sesama mereka yang menceroboh dan menjajah, laksana harta pusaka nenek moyang mereka.

Kumpulan Yahudi Zionis yang terkenal dalam sejarah manusia sejagat sebagai pembunuh para anbiya’ itu, sentiasa berada di sebalik pilihan raya negara besar penjajah dengan menggunakan harta, berita dan wanita bagi menguasai takhta pemerintahan negara, khususnya negara besar yang bertanggungjawab menubuhkan negara haram Israel dan menghalau penduduk asalnya di atas nama agamanya yang disesatkan. Sedangkan para pemimpin agama yang asal juga mengakui kesesatan Zionis daripada asal agama bangsa Yahudi.

Kumpulan Zionis berjaya memenangkan pemimpin paling bohong dan penipu itu dalam Pilihan Raya Presiden. Maka pelan damai dengan tawaran harta kekayaan dan kesenangan, setelah mengisytiharkan Bait Al-Maqdis sebagai ibu negara haram adalah rantaian yang sama.

Kini mereka menentukan pula tempat untuk negara Yahudi Zionis itu bertapak lebih kukuh, selamat dan aman, hanya untuk kaum mereka sahaja yang dianggap manusia mulia, manakala bangsa lain boleh diperlakukan apa sahaja mengikut kehendaknya.

Negara Palestin yang dicadangkan itu hanya penjara baru yang besar dengan segala kemudahan yang canggih sehingga mempunyai kawasan industri dan terowong, bagi memudahkan mereka mengawal penduduknya daripada bergerak menjadi bangsa yang kuat dan berdaulat.

Tegasnya pelan ini dirancang supaya negara Palestin menjadi tidak berdaulat dan Bangsa Palestin berterusan bangsat, kerana petanya dicipta untuk mudah dikongkong segala pergerakan.

Langkah menipu yang licik secara terbuka diketahui oleh orang yang tidak lupa. Walaupun tindakan Yahudi Zionis melupakan perjuangan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka di seluruh bumi Palestin.

Dahulunya Perjanjian Oslo dan Madrid merupakan satu langkah undur ke belakang dengan solusi dua negara yang dibahagikan kepada Palestin dan mengiktiraf negara haram Israel bagi kumpulan Zionis. Kemudian diundurkan pula kepada hanya masalah Bait Al-Maqdis menjadi ibu negara Yahudi Zionis sahaja dan selepas itu cadangan menubuhkan negara Palestin di bumi lain yang menjadi lebih kecil dengan ditawarkan peruntukan yang besar.

Setelah tawaran ditolak, maka inilah tawaran baru penubuhan negara Palestin yang tidak berdaulat dan ditentukan kawasannya bagi mengepung rakyat Palestin dalam penjara yang luas. Menjadikan Bait Al-Maqdis hanya sekadar tempat solat bagi mereka yang tidak disenaraikan menjadi pengganas. Cadangannya laksana mencipta anak tabung uji yang hendak dibunuh sebelum dilahirkan, kerana tabungnya mudah dipecahkan.

Istilah pengganas bagi mereka adalah rakyat yang menentang penjajah yang menceroboh negara dan tanah air. Adapun yang datang menjajah itu adalah penyelamat keamanan dunia dan keselamatan negara yang patut dialu-alukan kedatangannya.

Semua kumpulan Palestin membuat kenyataan terbuka bersama dan menyeru negara Islam supaya menolak pelan damai baru sebelum diumumkan lagi kerana sengaja dibocorkan awal kepada pihak media. Menunjukkan ada lagi tujuan Yahudi Zionis yang tersirat, bukan sahaja yang tersurat.

Barangkali negara yang menjadi barua kepada penipu itu sahaja sedang menunggu bagi menyokong pelan yang dicadangkan itu, kerana kepentingan bernaung di bawah ketiak negara yang membawa cadangan tersebut.

Tawaran tersebut lebih bersifat mencuci tangan yang berlumuran darah para syuhada’ rakyat Palestin yang berjuang sejak awal bertali arus sehingga kini. Tawaran tersebut juga lebih bertujuan kepada kepentingan Pilihan Raya Presiden yang kedudukannya sedang digugat, dan Perdana Menteri Negara Haram Israel yang sedang berhempas pulas menghadapi badan kehakiman dan rakyat dalam pilihan raya nanti.

Tawaran yang dicadangkan oleh mereka yang tiada hak bagi bumi Palestin dan mahu memaksa rakyat Palestin yang paling berhak menentukan kedudukan tanah air yang dijajah itu. Dahulunya Perjanjian Balfour dan Sykes Picot membahagikan tanah air bukan kepunyaan mereka adalah satu rompakan bersejarah yang wajib dibatalkan.

Bumi Palestin adalah bumi para anbiya’ yang ada kaitan dengan agama samawi, namun sejarah membuktikan hanya Islam yang berhak memerintahnya tanpa menghalang penganut agama lain. Firman Allah:

﴿…وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾

“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Surah Al-Hajj: 40)

Sejarah membuktikan setiap kali penganut agama selain daripada Islam menakluk bumi Palestin bertindak zalim terhadap penganut agama lain dan mazhab lain dalam satu agama samawi, melainkan berada di bawah pemerintah Islam yang dijamin hak semua penganut agama yang datang ke situ.

Penganut Yahudi Ortodoks (Neturei Karta) menolak dan mengharamkan penubuhan negara Israel kerana membawa akibat buruk kepada bangsa Yahudi sendiri, kerana dosa yang pernah dilakukan oleh mereka pada zaman silam.

Maka ditegaskan bagi umat Islam akan kewajipan mempertahankan Bait Al-Maqdis dan bumi Palestin serta gagalnya segala usaha bagi menghapuskan perjuangannya. Sabda Rasulullah S.A.W.:

لا تَزالُ طائفةٌ مِن أُمَّتي على الدِّينِ ظاهرينَ لعَدوِّهم قاهرينَ، لا يَضُرُّهم مَن خالَفَهم، إلَّا ما أصابَهم مِن لَأواءَ حتى يَأتيَهم أمْرُ اللهِ وهم كذلك، قالوا: يا رسولَ اللهِ، وأين هم؟ قال: ببَيتِ المَقدِسِ وأكنافِ بَيتِ المَقدِسِ.

“Sentiasa berada dalam kalangan umatku dari kalangan yang menyerlahkan diri mereka secara terbuka dan nyata, menegakkan kebenaran, menghadapi musuh dengan gagah perkasa, tidak boleh dimudaratkan (dihentikan) oleh orang-orang yang mengecewakan mereka, sehinggalah datangnya perintah Allah (memenangkan mereka) dalam keadaan mereka terus meneruskan perjuangannya”. Lalu para sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah dan di mana mereka berada?” Sabdanya: “Di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Percayalah bahawa mereka yang bersekongkol bersama penipu akan kecundang bersamanya. Maka percayalah bahawa pelan damai tersebut sebenarnya mengundang ketegangan yang akan menjatuhkan mereka, kerana rakyat Palestin tidak boleh dihapuskan dan semangat mereka tidak mungkin dipadamkan.

Percayalah bahawa rakyat Palestin tidak boleh diperlakukan seperti Red Indian yang dinafikan haknya di negara yang dikatakan paling demokrasi dan menjunjung hak asasi manusia.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 30/1/2020