Sekat arak, cegah insiden pemandu mabuk

PENGENALAN

Kemalangan demi kemalangan yang berhubung pemandu mabuk lewat kini sering menjadi insiden yang cukup menakutkan.

Bagaimana mungkin pemandu mabuk boleh berada di atas jalan raya sebagai pengguna jalan raya?

Ia bermula apabila kawalan penjualan arak yang tidak diperketatkan secara benar. Akhirnya arak menjadi punca kemalangan malah punca kematian orang di sekeliling yang tidak bersalah.

Bukankah Islam telah mengajar manusia agar menutup segala pintu kerosakan yang pasti sejak awal yang dipanggil dengan kaedah sadd az-zari’ah (سد الذزيعة)?

Apabila sah arak, maka ia tetap haram walau sedikit

Minuman arak dan apa sahaja yang mengandungi illah yang sama iaitu memabuk adalah diharamkan oleh Islam. Ini kerana nilai kehidupan manusia pada akalnya yang waras. Namun dengan disebabkan mabuk, akal sudah tidak berfungsi. Kesannya segala tindak tanduk manusia dalam keadaan tidak terkawal dan bukan dalam pertimbangan yang waras.

Hadith dari Ibn Umar meriwayatkan sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda:

Advertisement


كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ.

“Setiap yang memabukkan tersebut dikira arak dan setiap yang memabukkan itu dihukum haram.”

(Riwayat Muslim)


Pencegahan kepada arak ini jelas apabila sesuatu itu dihukumkan arak kerana wujud illah memabukkannya maka walau meminumnya tetap diharamkan sekalipun pada kadar yang sedikit.

Daripada Amru bin Syuaib dari ayahnya dari datuknya bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:


ما أسكر كثيره فقليله حرام

“Apa yang memabukkan pada kadarnya yang banyak, maka kadar sedikitnya turut haram.”

(Riwayat Ahmad, an-Nasai dan Ibn Majah)


Membenarkan aktiviti meminum arak tanpa kawalan yang ketat akan menyebabkan kerosakan dalam kehidupan manusia. Kes seperti punca kemalangan ekoran pemandu mabuk, malah insiden pergaduhan rumah tangga, perbalahan dan sebagainya menunjukkan kerosakan yang timbul dari arak bukan kecil dan hanya melibatkan diri peminum sahaja. Malah ia memberi kesan negatif pada masyarakat luar dan sekelilingnya.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Inilah kaedah yang penting untuk diberikan keseriusan dalam isu pemandu mabuk ini. Sampai angka terkorban mencecah berapa baru mahu pencegahan dan kawalan serius diambil tindakan?

Kaedah menyebutkan:


الوقاية خير من العلاج

“Mencegah lebih baik dari merawat”


Kerosakan arak sudah dimaklumi

Tidak perlu dibuat kajian atau pemerhatian umum dalam membuktikan kerosakan yang timbul disebabkan angkara arak tersebut.

Pendedahan laporan dari badan berautoriti lagi dipercaya serta siri-siri insiden yang terjadi sewajarnya sudah lebih untuk pihak berkuasa mengambil tindakan serius yang segera.

Menurut catatan World Health Organization (WHO) pada tahun 2011, tercatat 2.5 juta penduduk dunia meninggal dunia akibat alkohol dan 9 peratus kematian tersebut terjadi pada orang muda (15-29 tahun).

Ketua penyelidik, Dr Max Griswold dari University of Washington yang menjalankan kajian kesan buruk arak menerusi 195 buah negara terhadap 100 000 responden yang berusia 15 tahun sehingga 96 tahun mengakui bahawa peminum arak terdedah dan lebih berisiko mendapati penyakit seperti kanser. Laporan kajian ini diterbitkan di laman web http://Lancet.com.

Utusan Malaysia bertarikh 22 September 2009 melaporkan pengambilan minuman beralkohol atau arak dikenal pasti punca kepada 30 peratus kemalangan jalan raya di Malaysia.

Sekretariat Pertubuhan Antarabangsa Kawalan Produk Malaysia, David Ong Chan Hor berkata, ia berdasarkan laporan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

Maklumat Pertubuhan Bantuan Wanita di Malaysia, pengaruh alkohol menyebabkan seseorang itu terutama suami melakukan keganasan terhadap pasangannya.

Di Eropah, seorang pakar perunding, Peter Anderson yang mengkaji kesan berhubung pengambilan alkohol mendapati ia menyumbang 40 peratus kes keganasan dan penderaan terhadap sembilan juta kanak-kanak.

Di United Kingdom (UK), angka rasmi jenayah akibat meminum alkohol adalah 45-46 peratus kejadian jenayah, 39 peratus keganasan rumah tangga dan hampir 1 juta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk.

Salah faham berkaitan arak yang dibolehkan kepada non-muslim

Menjadi kekeliruan apabila arak dibolehkan kepada non-muslim, maka dibiarkan begitu sahaja tanpa adanya kawalan ketat. Akhirnya walaupun non-muslim meminumnya atas haknya bukan Islam namun kesan minum tersebut mengakibatkan insiden buruk dengan kemalangan yang terjadi. Lebih teruk, mangsa maut kemalangan kalangan muslim yang tidak bersalah sedangkan di pemabuk hidup bernyawa dan terlepas pula hukuman atau sekadar hukuman yang ringan!

Arak yang diperbolehkan pada non-muslim mestilah dalam kawalan undang-undang dengan lesen yang sah dan dalam masa yang sama tidak bersifat komersial kerana mencemari imej negara yang majoriti rakyatnya penganut Islam.

Di samping itu tempat minumnya mestilah terhad dalam kediaman sahaja dan tidak boleh dalam tempoh kemabukan itu berada di luar kediaman kerana membahayakan orang ramai di sekeliling.

Jadi, mabuknya untuk diri mereka dan tidak merebak kepada kesan yang tidak dijangka melibatkan orang ramai. Namun jika sekalipun peminum kalangan non-muslim namun masih berada di atas jalan raya atau luar kediamannya maka ia tetap menjadi bahana.

Justeru, apa tindakan awal yang wajib dilakukan oleh pihak berkuasa ialah:

(1) Tutup segala kelab malam atau premis hiburan serta kedai makan yang menawarkan minuman keras dan juga aktiviti pelacuran serta perjudian. Dari tempat ini biasanya pengunjung keluar dalam keadaan mabuk dan tidak berfikiran waras.

(2) Menghentikan segala promosi terbuka yang boleh dibaca oleh umum kerana mengundang masyarakat kepada kehidupan yang tidak sihat dan tidak elok.

(3) Meningkatkan kadar hukuman kesalahan yang dilakukan oleh seseorang dalam keadaan mabuk agar lebih menggerunkan dan memabukkan yang bersesuaian dengan masalah yang timbul.

(4) Mewujudkan satu peraturan larangan minuman arak dari had luar rumah kediaman dengan dikenakan penalti atas pelanggaran peraturan.

(5) Mempergiatkan kempen kehidupan sihat dan sejahtera tanpa arak atau minuman memabukkan.

Penutup

Tanpa tindakan segera lagi serius masalah yang membabitkan arak yang membawa kesan mabuk dan hilang kewarasan akan terus berulang-ulang kali. Sedangkan di Malaysia yang penganutnya majoriti muslim ditegah oleh agama untuk terlibat dengan apa sahaja aktiviti secara langsung dengan arak.

Bagi kelonggaran kepada non-muslim pun pastikan terpelihara dari sebarang kemudaratan yang terjadi dari kesan arak dan menjaga imej negara yang meletakkan Islam agama Persekutuan tanpa wujudnya sebarang komersial berkaitan arak.

Malah tiada keperluan wujudnya kilang arak yang besar malah penjualannya secara meluas. Bahkan tanpa arak di Malaysia jika mampu dilakukan, pun tiada masalah pada hakikatnya.

Kehidupan lebih baik lagi sihat. Begitu juga secara langsung tanpa arak akan mengurangkan peratusan 30 peratus dan ke atas dari terjadinya sesuatu kemalangan sebagaimana laporan kajian yang didedahkan di atas.

Adalah menjadi kepayahan menyekat penjualan arak ini disebabkan hasil kutipan cukai yang tinggi? Jika itu di benak fikiran maka perhatikan panduan dari firman Allah berikut:


۞ یَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَیۡسِرِۖ قُلۡ فِیهِمَاۤ إِثۡمࣱ كَبِیرࣱ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَاۤ أَكۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

[al-Baqarah: 219]


Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 30/1/2020