Sesat: SIS usah gembira keputusan Mahkamah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan fatwa sesat yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia).

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/mahkamah-tinggi-tangguhkan-fatwa-sesat-terhadap-sisters-islam-228823
Terdahulu kita boleh menghembuskan nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan semakan kehakiman oleh Sisters in Islam bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytihar pertubuhan itu sesat dan menyeleweng. Namun, kita perlulah sentiasa berwaspada kerana golongan ini tidak akan berdiam diri sehingga objektif mereka tercapai.

Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) memandang serius perkara ini berikutan pertubuhan SIS yang mengusung beberapa bentuk penyelewengan pemikiran sehingga mengelirukan masyarakat sekeliling.

Mereka cuba mentafsirkan Islam yang kononnya perlu diperbaharui semula beberapa hukum pelaksanaannya, sedangkan mereka sebenarnya jahil mengenainya.

Jika golongan ini tidak dibendung dengan kadar segera oleh pihak berkuasa, dikhuatiri lambat-laun akan mempengaruhi umat, khususnya golongan remaja yang longgar ikatan dan hubungan mereka dengan Islam kerana golongan-golongan berkenaan tidak pernah berdiam diri daripada berperanan untuk menyatakan pandangan mereka mengenai Islam mengikut acuan yang tidak selari dengan Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

SIGMA menggesa agar penangguhan fatwa sesat terhadap SIS ini tidak dipanjangkan tempohnya demi menyekat ideologi-ideologi Liberalisme daripada terus berleluasa khususnya di negara Malaysia yang berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah.

“SIGMA Inspirasi Ummah”

SITI HAJAR MISLAN
Pengerusi
Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 30/1/2020

Advertisement