UMMAH cabar DAP keluar kerajaan

KUALA LUMPUR: Nga Kor Ming dan DAP dicabar supaya keluar dari Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh tujuh hari bagi membuktikan parti itu benar-benar ‘gentleman‘.

Advertisement

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa percaya pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan tunduk kepada DAP untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Katanya, UMMAH menyokong pendirian Perdana Menteri bahawa Dong Zong, UEC dan SMPC adalah pertubuhan rasis, anti nasional dan hanya mementingkan kaumnya sahaja dengan mengetepikan hak kaum majoriti rakyat negara ini.

“UMMAH yakin Tun M sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Pendidikan akan sentiasa menjaga dasar-dasar pendidikan kebangsaan dan falsafah pendidikan negara daripada dicampur aduk dengan sistem pendidikan yang lain.

“UEC adalah sistem peperiksaan asing yang dikendalikan oleh pertubuhan Dong Zong yang rasis, anti nasional dan perpaduan kaum yang membawa agenda negara China tanah besar dan Taiwan dalam pendidikan SMPC, yang sangat bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan.

“UMMAH tetap yakin berdasarkan maklumat yang jelas diperolehi oleh PPDUEC daripada pelbagai pihak, maka UEC tidak akan diiktiraf dalam sistem peperiksaan pendidikan negara kita,” ujar Mohd Zai dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Portal Bahasa Cina Oriental Daily Malaysia melaporkan Nga yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, DAP tidak teragak-agak keluar daripada kerajaan jika PH tidak mengiktiraf sijil UEC.

Nga bagaimanapun berkata laporan portal tersebut mengelirukan kerana kenyataannya diambil di luar konteks.

Ini adalah kali kedua pimpinan tertinggi DAP mengeluarkan kenyataan seperti mencabar dan biadab terhadap kepimpinan Tun Mahathir.

Ahli Jawatankuasa DAP, Ronnie Liu pernah mengeluarkan kenyataan biadab mendakwa PH masih boleh membentuk kerajaan walaupun tanpa parti Tun Mahathir.

Susulan kenyataannya itu, Ronnie menegaskan pandangannya itu tidak mewakili partinya dan yakin dirinya tidak bersalah. – HARAKAHDAILY 30/1/2020