5 tanda kejatuhan negara haram Israel

HAKIKAT menunjukkan bahawa negara kayangan Israel tidak akan kekal lama, soalnya bilakah ia akan terkubur? Jawapannya ialah, mungkin di zaman kita. Dr Abdul Wahab Al-Masiri, pemikir Mesir dan penulis buku Yahudi, Talmudisme dan Zionis yang mempunyai 8 jilid, mencatatkan 10 tanda kejatuhan negara haram Israel dan Zionisme, dan saya rumuskan dan kongsikan 5 daripadanya di sini:

Perpecahan segmen masyarakat mengikut bangsa

Kita maklum bahawa masyarakat Israel adalah campuran pendukung Zionisme daripada segenap bumi, misalnya penduduk Ashkenaz dari Timur Eropah, penduduk Yahudi dari Rusia, penduduk Arab asal, penduduk Sephardik dan lain-lain pecahan. Kerajaan penjajah telah melakukan banyak cara untuk menyatukan pecahan-pecahan ini di bawah idea Zionisme dan satu negara, tetapi tidak berjaya. Perpecahan ini dapat dilihat misalnya dalam penindasan terhadap Yahudi dari Ethiopia yang semakin memuncak akhir-akhir ini.

Masa depan yang tidak menentu

Israel sebagai sebuah negara ciptaan, yang dibangunkan hasil penjajahan bumi lain, tidak pernah hidup dalam keadaan stabil. Sama ada di Tebing Barat atau Tanah Jajahan 1948, yang berdepan penentangan penduduk Palestin yang asal, sehinggalah perjuangan di Gaza yang sentiasa menyebabkan penduduk penempatan haram khususnya di sekitar Gaza sentiasa hidup dalam keadaan takut. Manakan tidak, hanya dengan penduduk Gaza menghantar belon, kondom dan layang-layang yang diterbangkan ke tanah jajahan pun, mereka tak senang duduk.

Sedikit demi sedikit, kuasa Israel semakin terhakis di pentas antarabangsa, sama ada kerana mudahnya maklumat sampai kepada dunia luar mengenai kezaliman mereka, atau kerana kuasa diktator dan perkauman semakin dipandang enteng oleh penduduk dan kerajaan luar. Peres bekas PM Israel, dan wajah karismatik yang diletakkan sebagai antara pengasas negara haram tersebut, pernah ditanya wartawan pada Mei 2008, adakah Israel akan kekal 60 tahun lagi? Peres menjawab dengan bertanya semula kepada wartawan, adakah ia akan kekal 10 tahun lagi?

Keadaan ini membawa kepada punca kejatuhan seterusnya.

Penghijrahan ke luar semula dan keengganan berkhidmat di dalam tentera

Israel dibangunkan dengan cara menggalakkan pemindahan penduduk Yahudi daripada seluruh dunia ke negara haram tersebut, dan mengubah demografinya. Walau bagaimanapun, misi ini hanya berjaya sehingga sekitar awal 60-an, ketika penduduk Yahudi meliputi 90 peratus daripada penduduk, berbanding 74.3 peratus penduduk Yahudi pada hari ini.

Saat ini, statistik menunjukkan bahawa semakin sedikit penduduk Yahudi dari luar berminat untuk berhijrah ke Israel, malah penduduk sedia ada mula berhijrah semula ke luar apabila melihat hakikat negara tersebut yang ‘indah khabar dari rupa’. Jumlah para pemuda, yang menolak berkhidmat di dalam tentera, yang diwajibkan ke atas semua penduduk, juga semakin meningkat kerana memandang kewajipan tersebut sebagai pilihan atau kehendak kerajaan, bukan kewajipan agama.

Keruntuhan kesatuan nasional antara Zionis dan agamawan

Kelompok agamawan di Israel, dipandang sebagai kelompok bermasalah oleh pihak kerajaan. Mereka kuat menentang ideologi Zionisme dan menolak pembentukan negara Yahudi sebelum tibanya Al-Masih, menolak untuk berkhidmat di dalam tentera dan sebagainya. Perpecahan kesatuan nasional dalam Israel dapat dilihat juga melalui pilihan raya terakhir yang terpaksa diulang sebanyak tiga kali kerana tiada kumpulan sama ada berhaluan kanan, kiri atau tengah, berjaya mendapatkan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Penerusan kebangkitan dan kesabaran penduduk Palestin

Perlu difahami bahawa modal yang dihabiskan untuk berperang dengan musuh, adalah sia-sia apabila ia tidak mendatangkan kejayaan di sektor politik. Israel telah beberapa kali melancarkan perang (atau lebih tepat serangan) ke atas Gaza, tanpa menatijahkan hasil politik. Mereka tidak berjaya menzahirkan diri sebagai negara berdaulat yang mempertahankan hak sendiri, tidak berjaya meraih sokongan antarabangsa malah PM Israel sendiri, gagal mempertahankan kerusinya walaupun berkali-kali menyerang Gaza untuk mendapatkan sokongan politik.

Kos ‘menjaga’ Israel semakin meningkat, dan tanpa pulangan yang sepatutnya, ia adalah modal yang dibelanjakan sama ada oleh mereka, atau oleh US sebagai penyumbang tersebar, secara sia-sia.

Jika diteliti, banyak lagi tanda yang menunjukkan bahawa Israel tidak akan bertahan lama, dan cepat lambat kejatuhannya bergantung bukan kepada kerapuhan mereka, tetapi kepada kekuatan kita.

Sejauh mana kita telah menyumbang untuk mengembalikan tanah yang telah begitu lama dijajah?

Paling kurang, ikuti saya di telegram http://t.me/nadiralnuri untuk sentiasa disuntik dengan sedar dan sayang Palestin.

NADIR AL-NURI – HARAKAHDAILY 31/1/2020

Advertisement