Perubahan teknologi perlu selari iman

KUALA TERENGGANU: Perubahan teknologi yang sentiasa mengalami peningkatan kemajuannya pada setiap zaman bagaikan tiada henti, namun ia perlu diselarikan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Advertisement

Pengarah Jabatan Media Baru Pemuda PAS Negeri Terengganu, Aswadi Mohamad berkata, jika penggunaan teknologi maklumat tidak diselarikan dengan keimanan, maka tidak akan memberi sebarang manfaat.

“Sekiranya kita menggunakan ianya untuk memyebarkan benda yang menyalahi agama. Apatah lagi dengan kebebasan ruang angkasa maya kita mampu melakukan apa sahaja dengan hanya satu klik dengan jari,” jelasnya menyifatkan hubungan antara Islam dengan teknologi umpama isi dan kuku.

Tegasnya, ia dapat dipisahkan kerana sama-sama mempunyai sumbangan yang penting di dalam membina tamadun manusia di mana perubahan teknologi membawa kemajuan, kemudahan dan keselesaan.

Manakala Islam pula jelas beliau, memimpin manusia kearah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan juga akhirat.

Perubahan teknologi juga menurutnya, tidak akan pernah habis malah akan sentiasa ada perkara baru ditemui serta diterokai di mana Malaysia juga tidak ketinggalan memanfaatkan perubahan teknologi.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah merasmikan Projek Demokrasi 5G Malaysia di Langkawi, (menunjukkan) semakin hampir kita dengan teknologi generasi kelima.

“Dato Seri Dr Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu juga pantas menyambut perubahan ini dengan menyediakan RM3.85 juta bagi menaik taraf Projek Terengganu Wi-Fi di dalam Bajet 2020,” jelasnya.

Katanya penggunaan capaian 5G akan mempercepatkan proses pemindahan maklumat dengan 1 milisaat sahaja berbanding 4G yang berkelajuan 9 ms.

“Juga akan ditingkatkan dengan kapasiti penggunaan bandwith 100 kali ganda peranti yang sama, malahan (menjadikan) muat turun video tanpa sebarang sangkut (gangguan),” jelas beliau.

Mengenai dakwaan teknologi berkenaan memberi kesan kepada kesihatan, beliau mengulas, perkara berkenaan telah disangkal oleh pakar dari pihak Scientific Committee on Emerging and Newly Identified Health Risk (SCENIHR) dalam satu laporan.

“Mengenai ‘potential health effect of exposure to Electromagnetic Fields’ yang dikeluarkan pada Januari 2015 turut mendedahkan kajian epidemiologi terhadap pendedahan RF-EMF.

“(Iaitu) telefon bimbit tidak menunjukkan risiko kepada ketumbuhan otak dan jenis kanser yang lain pada bahagian kepala dan leher,” terangnya. – HARAKAHDAILY 31/1/2020