PPSMI: Batalkan atau hadapi kebangkitan rakyat

KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad didesak membatalkan hasrat untuk mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau berhadapan semula dengan gelombang kebangkitan rakyat.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa menegaskan, ramai pihak telah menzahirkan penolakan terhadap hasrat pelaksanaan semula PPSMI.

“UMMAH menyokong Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri dan juga pemangku Menteri Pendidikan bukan untuk mengembalikan semula PPSMI dalam sistem pendidikan negara.

“Keputusan melaksanakannya semula sangat malang, mengecewakan dan akan menggelapkan semula masa depan dunia pendidikan anak bangsa negara,” kata Mohd Zai dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Advertisement

UMMAH yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) dianggotai dan disokong oleh sejumlah ratusan NGO Melayu dan Islam serta NGI bertekad tidak teragak-agak akan menggerakkan rakyat untuk berhimpun sekali lagi bagi menentang PPSMI.

Mohd Zai tidak menolak kemungkinan Tun Mahathir akan kehilangan jawatannya sebagai Perdana Menteri jika perhimpunan seperti itu digerakkan sekali lagi.

“PPSMI telah pun berlalu pada 2002-2010, dan telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada kemerosotan kepada para pelajar.

“Kajian yang dibuat oleh UPSI pada 2009 merekodkan kemerosotan sehingga 80 peratus di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah sehingga program ini dibatalkan pada 2010.

“UMMAH bertegas agar Tun Mahathir membatalkan hasrat tersebut atau akan berhadapan semula dengan gelombang himpunan rakyat menolak PPSMI yang telah pun berlaku sebelum ini,” tegas Mohd Zai.

Isu PPSMI timbul semula ekoran baru-baru ini, satu video mesyuarat tertutup di Putrajaya telah dimuat naik di laman sosial rasmi Perdana Menteri.

Dalam video tersebut Perdana Menteri berkata kepada Pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan bahawa beliau mempunyai beberapa idea untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara walaupun sedar tidak mudah hasratnya itu dipersetujui oleh ramai pihak. – HARAKAHDAILY 31/1/2020