Ketua Wanita PAN dakwa 3/4 PH menentang PPSMI

HASRAT Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seperti akan menempuh jalan yang sangat berliku nampaknya bila ia ditentang oleh pemimpin-pemimpin PH sendiri.

Advertisement

Paling jelas daripada tentangan ini ialah kenyataan Ketua Wanita PAN Malaysia, Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al-Jundi, yang menyebut:
(1) Pandangan Tun Dr Mahathir adalah pandangan peribadi beliau.
(2) Keputusan kerajaan adalah selepas kabinet bincang dan maklumkan keputusan.
(3) Pendirian kita tentang PPSMI daripada zaman Pakatan Rakyat adalah tidak berubah.
(4) 3 daripada 4 parti komponen PH mempunyai pandangan yang sama seperti dahulu.

Seakan ada kebenarannya juga kenyataan Ketua Wanita AMANAH Malaysia ini bila melihat kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh:
(1) Pemimpin-pemimpin PAN seperti Ketua Pemuda PAN Malaysia, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN Malaysia, Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi, Pengarah Komunikasi PAN Melaka, Jamzuri Ardani, Ahmad Lutfi Othman, dan lain-lain.
(2) Pemimpin-pemimpin PKR seperti EXCO Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, Ketua AMK Selangor, Mohd Najwan Halimi, Amidi Abdul Manan, Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Zamri Zainal Abidin, dan lain-lain.
(3) Pemimpin-pemimpin DAP seperti Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, dan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu Tian Khim.

Bahasa-bahasa yang digunakan untuk meluahkan tentangan juga agak keras seperti:
(1) Kenyataan Amidi Abdul Manan berbunyi: “Beliau telah berjaya menjadi contoh dan teladan kepada para pelajar dengan sikap yang degil dan memandai-mandai apabila menafikan segala fakta dan kajian yang telah dijalankan. Beliau menepati sifat dan ciri yang diungkapkan oleh Prof Syed Hussin dalam bukunya Bebalisme.”
(2) Kenyataan Zamri Zainal Abidin berbunyi: “PPSMI kembali? Tidak sama sekali!!! Jangan gadaikan masa depan dan kecemerlangan anak-anak kerana keghairahan ‘tidak masak’.”
(3) Kenyataan Ahmad Lutfi Othman berbunyi: “Lupakanlah benda-benda mengarut yang hanya mengundang kemarahan ini, khususnya orang Melayu. Saya kira Mahathir ini, wataknya bersikap ekstrem dan melampau (juga degil dan keras kepala).”

Bahasa paling keras setakat ini nampaknya datang daripada Abdul Muqit Muhammad, yang tidak dapat dipastikan keahlian politiknya, berbunyi: “Bangkai PPSMI sudah lama berulat dan dihurung lalat, dibunuh oleh tangan orang Melayu sendiri. Sudah nama pun bangkai, dikuis dengan hujung kaki pun kita tidak tergamak, apatah lagi dibawa pulang semula ke teratak. Orang tua yang tidak siuman sahaja akan berbuat gila, menggalas bangkai yang sudah membusuk.”

Kita tunggu dan lihat apakah akan ada apa-apa implikasi politik daripada tentangan mereka ini. Walau apa pun, seeolok-eloknya janganlah keterlaluan dan berpada-padalah dalam mengkritik. – HARAKAHDAILY 1/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.