PKR, PAN bukan parti Melayu – Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Pembentukan Muafakat Nasional mendahulukan parti-parti Melayu-Islam kerana menyedari bahawa politik Malaysia mesti dikuasai oleh kaum yang mendominasi iaitulah orang Melayu.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerana itulah PAS dan Umno sebagai parti Melayu dan terbesar di negara ini diutamakan dahulu di mana kedua-duanya juga berada di barisan Pembangkang.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya media mengenai hal itu selepas menyampaikan syarahan “Bicara Ini Demi Perpaduan” pada Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi tadi.

“Parti Melayu se (satu) lagi apa dia? BERSATU. Parti Melayu juga dalam kerajaan. Parti lain bukan parti Melayu. PKR bukan parti Melayu, PAN bukan parti Melayu, ini Perlembagaan dia. Perlembagaan parti ini mengatakan dia bukan parti Melayu. Yang parti Melayunya ialah PAS, Umno, BERSATU, ini parti Melayu.

“Dengan sebab itu kita bersifat fleksibel dengan parti-parti Melayu ini. Apa yang penting ialah Muafakat Nasional menyatukan yang terdekat dengan kita, sama-sama pembangkang dulu.

“Yang kedua, kita ajak orang lain kalau nak bersama dengan Muafakat, boleh muafakat. Dengan sebab itu, tidak timbul kerajaan pintu belakang. Yang timbulnya pintu belakang terbuka. Itu yang berlakunya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 1/2/2020

Advertisement