Warga FELCRA berhimpun di Pasir Salak

PASIR SALAK: Lajnah Pembangunan Tanah dan Hal Ehwal Orang Asal (LPTOA) PAS Negeri Perak menganjurkan Himpunan Warga FELCRA 2.0 bertempat di pekarangan Markas Tarbiyah PAS Kampung Gajah, di sini hari ini.

Advertisement

Pelbagai acara disusun pada program sehari ini yang bermula sejak pagi tadi melibatkan pelbagai acara serentak dan terbuka untuk semua golongan masyarakat dengan kemuncaknya Ceramah Perdana pada malam nanti.

Menurut Setiausaha LPTOA PAS Perak, Jamaliah Sudin, program ini merupakan kesinambungan dari pertama kali penganjurannya pada tahun 2017 di Changkat Lada di mana bertujuan menghimpunkan warga FELCRA daripada negeri ini.

Secara khusus maklumnya, ia bagi mengenal pasti permasalahan semasa dihadapi warga FELCRA di mana PAS berperanan untuk menyelami dan mengenal pasti isu berkaitan sebagai keprihatinan gerakan Islam terhadap hal ehwal ummah.

Pelbagai acara dan pertandingan telah dilangsungkan pada sebelah pagi tadi antaranya gubahan bunga matahari wanita, pertandingan mewarna dan menulis Jawi untuk pelajar rendah serta dekorasi kuih donat remaja perempuan.

Turut menambat perhatian pengunjung adalah pertandingan motosikal lambat untuk golongan bapa, selain warga tani ini didedahkan dengan ceramah dasar yang penting bertajuk “Pertanian Hidayah” oleh pihak HPA Industri Sdn Bhd.

Turut terhidang buat peserta dan pengunjung adalah pelbagai kaunter antaranya Suruhanjaya Pilihan Raya, Etika Takaful, peneriksaan kesihatan AMAL Medik, derma darah, perubatan Islam As-Syifa’ dan keahlian PAS.

Meriah juga bagi warga FELCRA adalah pertandingan kesukanan Pin Ball serta acara memanah, disamping pelbagai gerai jualan makanan dan produk Muslim, sementara hadiah pertandingan disampaikan Setiausaha PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin.

Ketika ini sedang berlangsung Wacana Isu FELCRA dan Undang-undang diikuti nanti penyampaian anugerah Tokoh FELCRA Kawasan-kawasan disamping acara ‘Free Market’ diikuti Kuliah Maghrib.

Ceramah Perdana malam ini akan disampaikan Pengerusi LPTOA PAS Pusat, Awang Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan ADUN Kampung Gajah, Dato’ Dr Wan Asyikin Wan Nordin. – HARAKAHDAILY 1/2/2020