G25 jahil agama dan merosakkan ummah

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mempertahankan kenyataan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengkritik dan membidas kumpulan G25 berhubung seminar kontroversi mereka yang menyeleweng dalam memberikan pandangan terhadap isu kebebasan beragama, penafian hukuman murtad serta pertikaian ke atas kewujudan JAKIM yang didakwa melanggar Perlembagaan.

Advertisement

Tindakan kumpulan G25 yang menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Presiden PAS merupakan tindakan biadap kerana jelas mereka mempertahankan pendirian mereka yang menyeleweng. Walhal banyak kenyataan balas dari para agamawan serta akademik yang membidas kenyataan mereka kerana boleh membawa kecelaruan kefahaman dan merosakkan pemikiran ummah.

Bahayanya kumpulan G25 ini kerana mereka bercakap mengenai Islam namun mereka sendiri mempertikaikan disebabkan terpengaruh dengan keraguan-keraguan yang dicipta oleh pihak Barat dan Orientalis. Lebih malang lagi, kumpulan G25 ini mendapatkan tempat di Malaysia untuk bergerak bebas malah mudah mendapat liputan media yang mana secara tidak langsung mempromosikan pembawakan, pemikiran dan aktiviti mereka.

Inilah bahaya kerosakan dari dalam umat Islam itu sendiri sebagaimana yang diperingatkan oleh Sayiduna Umar al-Khattab :

إنَّمَا تُنْقَضُ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً إذَا نَشَأَ فِي الْإِسْلَامِ مَنْ لَمْ يَعْرِفْ الْجَاهِلِيَّةَ

“Hanyasanya ikatan-ikatan Islam akan terlerai satu persatu apabila wujud dalam Islam mereka yang tidak mengenal jahiliyyah”

Pihak jawatankuasa fatwa negeri-negeri disarankan mengeluarkan satu ketetapan untuk umat Islam menjauhi pemikiran kumpulan G25 ini. Malah jika layak dihukumkan sebagai kumpulan yang sesat berdasarkan rekod, bukti serta hujah yang sedia ada, maka sewajarnya diwartakan khas sebagaimana kumpulan-kumpulan ajaran lain yang telah diwartakan sebagai ajaran sesat seperti Millah Abraham, Hizbut Tahrir, al-Arqam dan sebagainya.

Penegasan di peringkat hukum dan fatwa ke atas mereka adalah penting bagi membendung kerosakan kefahaman yang mereka bawa. Kata Imam Ahmad ibn Hanbal di dalam Bayna Mehnah al-Din wa Mehnah al-Dunya:

إذا سكت العالم تقية، والجاهل يجهل، فمتى يظهر الحق

“Kalau diam orang alim kerana taqiyah, dan orang jahil terus jahil, maka bilakah kebenaran itu akan tertegak?”

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 2/2/2020