PAS tinjau projek panel solar di rumah panjang

BINTULU: PAS Kawasan Bintulu telah menerima kunjungan Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan (LEHPU) PAS Pusat yang turun meninjau kawasan rumah panjang, di sini semalam.

Advertisement

Lawatan tersebut bagi melihat sendiri projek di situ yang akan dipasang panel solar bagi membolehkan para penduduk terdiri daripada peribumi kaum Iban mendapat bekalan elektrik.

Hadir pada kunjungan ini ialah Timbalan-timbalan Pengerusi LEHPU PAS Pusat, Muhtar Suhaili dan Mazli Zakuan Mohd Noor, manakala PAS Bintulu diwakili Timbalan Ketua Pemuda, Arifin Rosli.

Rumah panjang yang terletak di jalan pesisir Jepak-Kuala Tatau dekat Bintulu ini mempunyai 33 pintu rumah di mana ianya didiami seramai 200 penduduk.

Projek solar ini adalah hasrat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri ketika hadir merasmikan program Hari Malaysia PAS pada 16 September tahun lalu.

Sambutan meriah yang mendapat liputan media seluruh negara ketika itu telah membuka mata rakyat keseluruhannya bahawa PAS terus mendapat tempat di hati masyarakat.

PAS yang dilihat asing terutama di mata bukan-Muslim suatu masa dahulu telah mula diberi peluang oleh mereka untuk berkhidmat  kerana mengenali PAS secara dekat.

“Ternyata sangkaan serta persepsi jahat malah Islamophobia selama ini tidak mendapat tempat apabila mereka mengenali PAS dan penting untuk rakyat Sarawak tahu bahawa PAS bukan hanya untuk orang Islam sahaja,” ujar Muhtar.

Projek ini signifikan kepada kemampuan PAS dan menunjukkan bakti khidmat kepada rakyat Sarawak secara khusus biarpun PAS belum memenangi kerusi di Bumi Kenyalang.

Pada Pilihan Raya Negeri yang lepas, PAS Bintulu juga telah meletakan calon bukan Islam berbangsa Iban di DUN Kakus.

“PAS di Bintulu berbeza dengan kawasan lain kerana kita memiliki kekuatan sokongan bukan Islam melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Malah PAS Bintulu komited untuk melebar luaskan kebaikan politik Islam yang sesuai untuk semua bangsa,” tambah Arifin pula. – HARAKAHDAILY 2/2/2020