Harga simen naik sejak suku keempat 2019?

PAS minta penjelasan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berhubung dakwaan kenaikan harga simen yang berlaku sejak Suku Keempat 2019. Berdasarkan laporan daripada analisis institusi kewangan, harga simen bagi satu metrik tan ialah RM190 pada September 2019, kemudian ia meningkat kepada RM210 hingga RM230 pada Oktober 2019. Keadaan ini menunjukkan bahawa kenaikan telah berlaku lebih kurang 40 peratus sejak bulan Jun 2019 lalu.

Advertisement

Jika benar kenaikan telah berlaku, maka KPDNHEP harus bertanggungjawab dan menjelaskan samada kenaikan ini telah mendapatkan kelulusan atau tidak. Sebarang kenaikan harga simen bukan keputusan mutlak syarikat pengeluar tetapi ia tertakluk kepada syarat-syarat khas di bawah Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Isu kenaikan harga simen pernah ditimbulkan pada bulan Jun 2019, namun ia telah ditolak oleh KPDNHEP. Adakah kenaikan terbaharu yang berlaku sejak Suku Keempat 2019 dibenarkan secara senyap-senyap oleh KPDNHEP?

Pengeluaran simen dikuasai oleh YTL Group (YTL Cement) yang mendominasi kira-kira 60 peratus pasaran di Malaysia. Kenaikan drastik akan menyebabkan kesan berganda kepada sektor lain terutama sektor pembinaan hartanah kediaman. Justeru, prospek kenaikan harga akhir akan berlaku dan akhirnya membebankan rakyat. Oleh sebab itu, PAS meminta penjelasan segera daripada pihak kementerian terbabit berhubung perkara ini. 

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
9 Jamadil Akhir 1441 | 3 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 3/2/2020