Anak muda sedang beri isyarat tolak PH

PASIR SALAK: Kecelaruan dan huru-hara pemerintahan kerajaan hari ini adalah lantaran masalah dalaman parti komponen PH ekoran perebutan kuasa sesama mereka yang mengakibatkan tugasan hakiki sebagai wakil rakyat terabai dan ekonomi negara menemui jalan buntu.

Advertisement

“Rakyat pada hari ini tak kira bangsa dan agama cukup merindukan penyatuan ummah, cukup merindukan perpaduan antara kita,” demikian kata Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait.

Antaranya kemuka beliau, pertembungan 200 ahli PKR yang berlaku pada 29 Januari lalu di Ipoh telah menatijahkan kebobrokan dalaman PH seterusnya mewajarkan rakyat untuk menolak mereka pada pilihan raya akan datang.

Bidasnya ketika berucap sempena Himpunan Warga FELCRA 2.0 di Markas PAS Kampung Gajah, di sini kelmarin, jika ahli parti sendiri tidak mampu dijaga, apatah lagi untuk PH mengurus tadbir negara Malaysia ini umumnya dan Perak khususnya.

Menurutnya, anak muda kini semakin merasa jijik dengan permainan politik PH, ditambah lagi dengan ugutan keluar parti oleh Nga Kor Ming dari DAP kerana menuntut dan mendesak untuk mengiktiraf UEC.

“Bila nak keluar? Berani ke nak keluar? Politik PH pada hari ini seperti politik kebudak-budakan. Dalam mesyuarat agung mereka melempar-lempar kerusi, terajang menerajang sesama sendiri. Ini contoh yang memalukan bagi parti pemerintah.

“Mereka bergaduh bukan dengan parti lawan, tetapi bergaduh sesama mereka sama parti. Andai kata kita tanya rakyat bila nak pilihan raya? Jawapan rakyat pasti mahukan kerajaan berubah secepat mungkin,” singgungnya.

Beliau menambah, anak muda hari ini merasa penyesalan kerana memilih PH disebabkan termakan janji-janji manifesto PH dan mengakui kecewa perjuangan PH hanya memenangkan kaum dan kelompok DAP dengan meminggir suara dan janji kepada anak muda.

Makanya kata beliau, Muafakat Nasional adalah sangat relevan sebagai jalan keluar kepada permasalahan juga bagi menyatukan semua walaupun berbeza parti.

Tambah beliau lagi, anak muda inginkan sesuatu yang memandang ke depan di mana mereka menantikan pelan dan struktur serta perancangan kukuh dari Muafakat Nasional seterusnya menjadi pendokong utama gagasan ini.

“Permulaannya penganjur ragu sambutan anak muda Kampung Gajah dengan permainan _paintball_. Tapi Alhamdulillah 25 pasukan masuk bertanding. Ini menunjukkan anak muda mula menerima kita. Begitu juga himpunan-himpunan anak muda mendapat sambutan luar jangka.

“Ini merupakan mesej anak muda menolak PH yang ditunjangi DAP dan memandang positif Muafakat kita. Mesej ini akan terus disampaikan dari masa ke semasa melalui himpunan demi himpunan anak muda yang akan diadakan.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Perak merangkap Adun Kampung Gajah, Dato’ Dr Wan Norasyikin Wan Nordin menegaskan, rakyat tidak dapat memberi harapan lagi kepada para pemimpin PH.

Bidasnya, Melayu di dalam PH adalah serpihan dari PAS iaitu PAN dan serpihan Umno iaitu BERSATU hasil dari pecah belah yang didalangi DAP, sekali gus bermakna tuan mereka adalah DAP.

“Manakala PKR pula perjuangan mereka bukan untuk rakyat, tetapi untuk seorang bakal PM. Sanggup makan kawan dan lawan. DAP tidak memperjuangkan rakyat secara keseluruhannya tetapi hanya memperjuangkan kelompok mereka,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 3/2/2020