Kepincangan dalam agensi pertanian perlu dibetulkan

PASIR SALAK: Kepincangan dalam mengendali aset negara termasuk melibatkan tanah pertanian telah menyebabkan hasil tidak dinikmati oleh rakyat secara adil, demikian menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria.

Advertisement

Mengemukakan kes penjualan aset Tabung Haji iaitu TH Plantation oleh Kerajaan PH yang disifatkan cukup menyayat hati, bidasnya kerajaan hari ini dilihat tidak berusaha menambahkan aset sedia ada sebagaimana telah diusahakan pimpinan terdahulu.

Menurutnya, tanah kelapa sawit yang beribu hektar milik TH Plantation di Malaysia dan Indonesia walaupun ada cacat celanya, bahkan pula telah dijual di bawah pemerintahan PH di bawah harga pasaran semasa kepada syarikat asing milik bukan-Islam.

“Tabung Haji adalah badan yang menyimpan dana umat Islam yang ingin menunaikan haji dan dikembangkan dananya melalui perniagaan. Namun, apa yang berlaku hari ini, hasil itu banyak yang tidak dikembalikan kepada pendeposit apabila dividen semakin berkurang, dan ura-ura menarik kembali subsidi.

“FELDA dan FELCRA pula fungsinya mengumpulkan tanah-tanah kerajaan terbiar seluruh Malaysia dibawah akta GSA 1960 untuk diusahakan dengan pertanian kelapa sawit, dan diagihkan kepada peneroka untuk diurus. Hasilnya diniagakan dan boleh disumbang kepada cukai negara dan dijadikan dividen kepada peneroka.

“Selain itu, FELDA dan FELCRA juga berfungsi untuk mengusahakan tanah-tanah orang kampung yang terbiar dan kemudian hasilnya diniagakan dan dikembalikan kepada pemiliknya atau waris. Namun, apa yang berlaku hari ini, hasil tidak diperolehi waris generasi kedua,” ujar beliau berucap pada Himpunan Warga FELCRA 2.0 di Markas PAS Kampung Gajah, di sini kelmarin.

Hal tersebut terjadi terangnya, kerana pewarisan di FELDA tidak diurus seadilnya dan tidak berjalan seperti sistem pewarisan dalam Islam iaitu faraid, di mana menuntut akta yang ada sepatutnya diperbetulkan.

Oleh itu tegasnya, kerja buat ini memerlukan kepada kuasa kerana ia turut melibatkan soal kemudahan kewangan dalam mengurus ekonomi rakyat supaya dapat dikembalikan kepada rakyat, dan bukannya kepada tampuk pemimpin yang berkuasa. 

Katanya, realiti masalahnya berlaku ketika ini, apabila hasil tidak dirasai rakyat, sedangkan rakyat dari golongan peneroka dan petani terutama kalangan Bumiputera Melayu ini masih lagi dalam paras kemiskinan.

FELCRA pula menurutnya, telah dikorporatkan, tetapi tidak memberi keuntungan di mana kerajaan beralasan ekonomi lembap, lalu bertindak menjual aset yang hal itu dibidasnya sebagai antara kelemahan Kerajaan PH.

“Tanaman yang diusahakan secara berkelompok dalam FELDA dan FELCRA sepatutnya mengurangkan kos dan memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding diusahakan secara persendirian. Apa yang berlaku hari ini, hasil yang diperolehi tidak seperti sepatutnya.

“Lebih malangnya, peneroka masih punyai hutang kepada FELCRA daripada tanah yang dicagar. Ke mana perginya hasil FELDA dan FELCRA ini? Ditambah pula, cas pengurusan FELCRA terlalu tinggi yakni 6.5 peratus sedangkan dividen FELCRA bayar kepada peneroka terlampau sedikit,” tempelaknya.

Menurut ADUN Gunung Semanggol itu, peranan PAS dalam membawa politik matang dan sejahtera bukan mengiyakan kesilapan-kesilapan terdahulu, bahkan ingin membetulkan segala kepincangan.

Tetapi PAS tegasnya, tidak mahu kepincangan baru dibuat pula oleh kerajaan hari ini dengan lebih teruk lagi, malah PAS ingin membawa kesedaran kepada warga peneroka agar mengambil tahu hak dan berusaha mengubah hidup.

Jelasnya, hal tersebut mesti dilakukan dengan warga peneroka turut sama menyampaikan dan menyebarkan maklumat agar kesatuan hati dan tindakan dapat dilahirkan, seterusnya generasi ini tidak lagi tertindas oleh sang penguasa.

“Tujuan Muafakat Nasional adalah secara bersama ingin membetulkan kesilapan dan mengurangkan mudharat. PAS perlu duduk bersama Umno bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar oleh kerajaan hari ini bukan meneruskan kesilapan yang telah dibuat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 3/2/2020