Melayu jangan terpengaruh, terpesona muslihat DAP

PASIR SALAK: Rakyat Malaysia terutama orang Melayu diingat supaya berwaspada terhadap DAP agar tidak terpesona atau terpengaruh dengan tindak tanduk dan muslihat yang ditunjukkan oleh pemimpin kerana parti itu.

Advertisement

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim menegaskan perkara tersebut pada Ceramah Perdana sempena Himpunan Warga FELCRA 2.0 di Markas PAS Kampung Gajah, di sini kelmarin.

“Yang terbaru apabila Penolong Setiausaha Agung DAP, Nga Khor Ming berkata parti itu akan keluar daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika Putrajaya enggan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC),” katanya.

Turut berceramah ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Seri Tajuddin Abd Rahman dan Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Hal Ehwal Penduduk Asal PAS Pusat memberitahu, DAP mahu kerajaan mengiktiraf UEC dan ia jelas bercanggah dengan Akta Pendidikan yang akan melebarkan jurang perkauman di negara ini

Menurutnya, ini adalah perkembangan yang tidak sihat untuk semua kaum, tetapi DAP tetap mahu meraih kepentingan politik kaum Cina, selain turut menyentuh beberapa perkara termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau mengingatkan, perkara sensitif jangan sekali disentuh seperti Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera di negara ini sebagai penduduk asal.

“Bagitu juga Bahasa Melayu hendaklah dijadikan sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan. Perlembagaan negara ini akan diancam sebegitu rupa kerana sudah ada tanda beberapa perkara ini tidak segan silu dipertikaikan,” bidasnya

Dato’ Seri Tajuddin pula mendakwa Kerajaan PH gagal membela rakyat khususnya yang berada di luar bandar di mana mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu telah mencadangkan penubuhan Kolej FELCRA di Seberang Perak pada 5 tahun lalu.

Katanya, tapak tanah seluas 250 ekar telah diluluskan oleh Kerajaan untuk dijadikan kolej tersebut sebagai pembangunan modal insan khusus untuk anak peserta FELCRA dari seluruh negara

“Tetapi sehingga kini cadangan itu dibekukan oleh Kementerian Ekonomi dan tapak tanah tersebut terbiar,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2020