PH keliru, Quran telah bermula lebih 1,400 tahun

KITA adalah Generasi Al-Quran tetapi bukan era 4.0.

Generasi Quran Era 4.0 yang diiklankan oleh Kerajaan PH Negeri Kedah dihujahkan oleh sesetengah orang yang mempertahankan Papan Iklan itu merujuk kepada Industrial Revolusion 4.0 (IR4.0) yang sedang melanda dunia sekarang. Ini zaman millenia, jangan jadi katak bawah tempurung!

Soalan saya, kenapa perlu meletakkan Generasi Al-Quran yang dimulakan lebih 1400 tahun lalu (abad ke 7) oleh Rasulullah S.A.W selari dengan garis masa Revolusi Industri yang hanya muncul pada abad ke 18?

Revolusi Industri tercetus di Barat (Perancis 1760) dan memulakan era baru bentuk dan sistem kemajuan dunia Barat, setelah begitu lama terperosok dalam kegelapan.

Secara umumnya, Revolusi Industri pertama (IR1.0) adalah kemajuan berasaskan mesin berkuasa wap dan pengangkutan keretapi. IR2.0 berkaitan penggunaan kuasa elektrik, minyak dan gas. IR3.0 adalah berkaitan kemajuan teknologi maklumat (IT). IR4.0 pula adalah berkaitan Internet Kebendaan (Internet of Things – IOT) yang sedang (dibiarkan) mengatur kehidupan manusia pada hari ini.

Antara ciri-ciri besar IR1.0 dan lanjutannya ialah perkembangan sekularisme atau pemandulan peranan gereja agama Kristian terhadap pemerintahan dan politik. Agama tidak lagi memandu kehidupan dunia, hanya menjadi urusan peribadi.

Hampir semua pencapaian dalam bidang keilmuan dan kemajuan sains di Barat menjelang IR1.0 diambil, ditiru, dicedok, dicuri dan dikembangkan daripada penemuan sarjana dan tokoh ilmuan Islam yang muncul dalam perkembangan Tamadun Islam. Mereka adalah generasi Al-Quran yang tidak dinomborkan dalam garis masa.

Rentetan daripada itu Negara-negara Barat meluaskan penjajahan ke atas negara lain termasuk kita di Asia Tenggara ini untuk menjarah kekayaan dan sumber asli kita bagi membekalkan bahan mentah dan pasaran untuk industri mereka. Pada masa sama, sekularisme dan agama Kristian dikembangkan untuk memadam cahaya Islam di kalangan pemimpin dan penduduk negara dijajah. Sekularisme dipaksakan pula ke atas Islam.

Setelah Tamadun Islam mencerahkan dunia dan memerintah sebahagian besar planet ini dengan petunjuk daripada Al-Quran selama lebih 1000 tahun, zaman berzaman silih berganti, tiba-tiba umat Islam (generasi Al-Quran) dirangkumkan dalam garis masa Revolusi Industri yang hanya muncul pada abad ke-18.

Adakah umat Islam kini perlu bergayut kepada IR dan bergelumang di dalamnya menurut saja apa yang direncanakan oleh promoter IR4.0? Bukankah menurut Quran, kita adalah lebih daripada itu?

Kita adalah Generasi Al-Quran, bermula lebih 1400 tahun lalu, tetapi kayu ukur, rujukan, kaca mata, sistem nilai, falsafah, proses, matlamat dan hadaf kita tidak sama dengan IR 1,2,3 atau 4… Kita tidak patut diheret berenang dan hanyut bersama arusnya.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR – HARAKAHDAILY 3/2/2020

Advertisement