PPSMI: UMMAH serah memo Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan menghantar satu memorandum ke Putrajaya untuk membantah pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, UMMAH bersama badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pejuang pendidikan berhasrat menyerahkan memorandum bantahan itu pada Jumaat ini selepas solat Jumaat pada jam 2 petang.

“UMMAH menyeru semua pihak yang cintakan Bahasa Melayu sebagaimana peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 550, 1996 dapat bersama sama mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan dan memartabatkanya sebagai bahasa ilmu,” kata Mohd Zai.

Bantahan ini akan diketuai oleh Penasihat Persatuan Linguistik Bahasa Malaysia, Dato’ Dr Awang Sariyan yang turut disertai oleh NGO pejuang pendidikan dan bahasa.

Isu pelaksanaan semula dasar PPSMI yang dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 kembali diperkatakan apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan Malaysia mengatakan berhasrat mengembalikan semula dasar itu.

Hasrat itu mengundang bantahan pejuang pendidikan dan bahasa yang berharap dasar itu tidak dikembalikan ekoran kegagalannya yang sudah terbukti sebelum ini.

Advertisement

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pelaksanaan PPSMI masih di peringkat awal perbincangan dan kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan untuk melaksanakan PPSMI.

UMMAH dalam kenyataannya sebelum ini, mendesak kerajaan membatalkan hasrat untuk mengembalikan PPSMI atau berhadapan semula dengan gelombang kebangkitan rakyat. – HARAKAHDAILY 3/2/2020