Tuntutan G25 terhadap Presiden PAS adalah karut

TUNTUTAN Kumpulan G25 supaya Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang memohon maaf atau berdepan dengan ugutan Saman adalah satu langkah terdesak untuk mengalihkan fokus teguran keras dari Mufti-Mufti, agamawan serta instutusi-institusi Islam tentang kenyataan wakil G25 tersebut yang semakin tegar melanggari batas hukum, khususnya berkaitan isu murtad, di mana G25 telah secara terbuka dalam kritikannya terhadap undang-undang murtad, dengan mendakwa bahawa keputusan seseorang Islam untuk keluar agamanya adalah urusan peribadi individu tersebut dengan Tuhannya. Dengan kata lain ia perlu diberikan kebebasan untuk murtad dan tiada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran.

Advertisement

Kenyataan G25 ini adalah sebahagian dari kritikan-kritikan G25 yang sentiasa dikitar semula terhadap perlaksanaan syariah Islam dan perjalanan istitusi Islam dalam negara ini. Kenyataan terbaru G25 ini adalah melatari Laporan bertajuk “Administration of Matters Pertaining To Islam” yang dilancarkan pada 10.1.2020.

Melalui Kertas Laporan ini, G25 telah melancarkan serangan terhadap keabsahan penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (“MKI”) di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan sektretariatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (“JAKIM”) yang didakwa sebagai tidak sah kerana kononnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. G25 juga turut mengecilkan kuasa dan peranan Majlis Raja-Raja Melayu berkenaan penubuhan MKI dan JAKIM dan dengan sengaja memberikan tafsiran yang sempit dan jumud bagi Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan, semata-mata untuk mengekang kuasa Majlis Raja-Raja dan cuba menjustifkasikan pandangan songsang mereka tentang penubuhan MKI dan JAKIM.

Walau pun G25 secara tersusun dan halus cuba menyandarkan dapatan mereka berdasarkan adunan naratif sejarah dan teknikal perundangan, dan kononnya “untuk mencadangkan pembaharuan melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan”, hakikatnya jelas terserlah helah licik dan tipudaya terancang dalam memberikan justifikasi songsang untuk menanam keraguan di kalangan orang awam, terhadap keabsahan penubuhan MKI, JAKIM, kuasa dan peranan Majlis Raja-Raja, serta institusi-institusi Islam yang bertanggungjawab dalam pengembangan agama Islam di negara ini.

Lantaran dari kenyataan-kenyataan G25 yang sentiasa mengelirukan ummat Islam melalui pelbagai kaedah, kenyataan Presiden PAS pada 17.1.2020 yang menyifatkan bahawa “G-25 Membahayakan Akidah Ummat Islam” dan lebih bahaya dari Al-Maunah adalah satu kenyataan yang sangat wajar dan berpatutan, yang sepatutnya membuka mata G25 bahawa dalam banyak hal tentang Islam, mereka telah jauh terjebak dalam agenda liberal yang sangat bahaya terhadap agama, ummah dan negara!

Oleh yang demikian, LUHAM ingin menegaskan bahawa tuntutan G25 agar Presiden PAS memohon maaf secara terbuka, dan mengugut untuk diambil tindakan Mahkamah, adalah satu tuntutan yang tidak berasas, remeh dan karut. Sepatutnya G25 adalah pihak yang memohon maaf kepada ummat Islam di Malaysia atas kenyataan-kenyataan bertali arus yang sentiasa mempersendakan hukum dan institusi Islam.

LUHAM juga ingin mengingatkan G25 supaya tidak memutar belitkan peruntukan Seksyen 503 dan 505(c) Kanun Keseksaan untuk memberikan persepsi palsu terhadap Presiden PAS. S. 503 adalah berkait dengan ugutan jenayah (criminal intimidation), manakala S. 505(c) adalah berkait dengan kenyataan yang mengakibatkan ketidakteraman awam (statement conducing to public mischief), di mana intipati bagi kedua-dua seksyen ini adalah tidak terpakai ke atas kenyataan Presiden PAS.

Hakikatnya, berdasarkan kenyataan-kenyataan karut tentang hukum syariah seperti hak untuk murtad, yang telah pun disanggah oleh Mufti Perak dan Pahang pada 14.1.2020, G25 adalah pihak yang sebenarnya pihak yang terjebak dalam kesalahan seperti yang didefinasikan di bawah S. 505 Kanun Keseksaan tersebut.

Di samping itu, LUHAM mendesak pihak berkuasa berkaitan serta pihak berkuasa Agama untuk memulakan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Kumpulan G25 yang semakin tegar mempromosi nilai dan dogma liberal yang ternyata menyesatkan.

Pada semua keadaan, LUHAM bersedia mempertahankan Presiden PAS di Mahkamah Undang-Undang dan akan menggunakan sebaik-baik ruang untuk melondehkan usaha terancang dan helah licik G25 tersebut.

“Islam Memimpin Perpaduan”

WAN ROHIMI BIN WAN DAUD
Pengerusi
Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat
3 Februari 2020 | 9 JamadilAkhir 1441 – HARAKAHDAILY 3/2/2020