Dilahir lelaki, perangai wanita langgar fitrah

KOTA BHARU: Ibadat umrah ahli perniagaan, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Sajat sah sekiranya dilakukan mencukupi syaratnya.

Mufti Kelantan Dato’ Muhd Shukri Muhammad berkata, berpakaian wanita ketika mengerjakan umrah itu kesalahan lain.

“Jika melihat dari segi ibadat, umrah dia sah selagi menutup aurat dan cukup syaratnya.

“Sebagai contoh lelaki solat dengan memakai pakaian curi, ibadat solatnya sah, namun tindakannya mencuri itu tetap haram,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Baru-baru ini tular kontroversi usahawan kosmetik itu mengenakan pakaian jemaah wanita ketika berada di Makkah.

Muhd Shukri berkata, sepanjang menunaikan ibadat umrah perlu dipastikan Muhammad Sajad tidak melanggar syarat umrah.

“Sekarang ramai yang mengatakan hak asasi manusia dengan mempertahankan tindakan dia (Muhammad Sajad).

“Sedangkan dalam Islam, hak asasi itu terpakai kepada mereka yang berada dalam fitrah sahaja. Dan jika seseorang itu hidup di luar fitrah iaitu menjadi wanita sedangkan dilahirkan sebagai lelaki, bermakna dia sudah tidak hidup secara fitrah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/2/2020

Advertisement