Fungsi bala Allah

KALIMAH bala’ dan pecahannya di dalam Al-Quran direkodkan sebanyak 38 kali. Setiap ayat memiliki perinciannya yang tertentu. Bala itu menurut bahasanya juga bermaksud ujian.Terdapat dua ayat yang menjelaskan fungsi bala Allah ini secara umum iaitu:

Advertisement


“Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).”

(Al-‘A`rāf: 168)

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

(Al-‘Anbyā’: 35)


Terdapat dua elemen penting dalam kedua ayat di atas;

(1) Bala baik dan buruk

Seringkali apabila menyebut perkataan bala’, yang dibayangi hanyalah keburukan dan terkena pada orang jahat atau tidak beriman. Walhal bala’ ini boleh jadi pada kedua-dua golongan baik dan buruk, beriman atau tidak, begitu juga bala’ boleh datang dalam bentuk kesenangan mahupun keburukan. Boleh sahaja terjadi keduanya menurut kehendak Allah Taala.

(2) Sebagai peringatan

Allah menyebutkan dengan jelas bahawa fungsi bala, samada baik mahupun buruk, mengenai orang beriman atau orang kufur, bertujuan mengembalikan manusia kepada Allah.

Sebab itu Nabi S.A.W memuji keadaan orang beriman, diuji dengan keduanya pun tetap kembali pada Tuhan. Sabda Nabi S.A.W;


“Adalah amat mengkagumkan bagi orang yang beriman, kerana seluruh kehidupannya sentiasa dalam keadaan baik. Keadaan ini tidak akan dirasai kecuali orang beriman sahaja. Sekiranya dia mendapat kesenangan, dia bersyukur maka ia baik baginya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar maka ia juga baik baginya.”

(Riwayat Muslim)


Malangnya, apabila Allah menurunkan bala dengan tujuan memberi peringatan agar manusia kembali, tetapi manusia berterusan melakukan kerosakan dan melawan Allah. Mereka mencabar orang beriman dengan kerosakan yang dibuat langsung tidak menjejaskan kehidupan mereka, ia juga bukan disebabkan dosa yang mereka buat, bahkan kehidupan mereka semakin baik dan dilimpahi kesenangan!

Azab yang ditunda

Allah Taala menjelaskan dalam banyak ayat, azab dan kemusnahan bagi golongan yang menderhakai Allah ini sengaja ditangguhkan supaya memberi peluang bertaubat dan kembali padaNya. Antaranya;


“Dan Aku memberi tangguh kepada mereka. Sesungguhnya rencana-Ku amat teguh.”

(Al-A’raf: 183)


Allah berfirman;


“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).”

(As-Syura: 30)

“Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika betul (Al-Quran) ini, dialah yang benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.””

(Al-Anfal: 32)


Sungguh, manusia ini sentiasa mencabar Allah hingga sampai masanya barulah menyesal, dan penyesalan ketika itu tidak berguna lagi. Orang beriman sentiasa berusaha keras memberi peringatan dari masa ke semasa, kalaulah peringatan dari Yang Maha Esa turut tidak diendahkan, apalah sangat ucapan manusia seperti kita;


“(Lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.”

(As-Sajdah: 14)


Ya Allah, peliharalah dari segala bala yang tidak mampu kami hadapi, selamatkanlah kami dunia dan akhirat.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 4/2/2020