Tidak perlu kitar semula PPSMI

PPSMI yang pernah dilaksanakan pada 2002 hingga 2012, ternyata gagal meningkatkan prestasi Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Justeru apakah rasional untuk Pemangku Menteri Pendidikan berhasrat untuk memperkenalkan semula program yang terbukti menimbulkan lebih banyak masalah daripada sedikit kebaikannya.

PPSMI bukan sahaja menerima tentangan majoriti rakyat malah golongan cendekiawan. serta mengembalikan tekanan kepada para guru yang mulai selesa dengan penggunaan Bahasa Melayu/bahasa ibunda untuk SJKC Dan SJKT.

Langkah tersebut akan memberi tekanan kepada guru yang telah diberi pendedahan menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Ibunda masing-masing dalam menjamin penyampaian berkesan oleh guru dan penerimaan serta pemahaman murid terhadap Subjek Sains atau Matematik.

Pelaksanaan semula PPSMI adalah langkah mengundur yang pastinya merugikan negara daripada segi kewangan dan perlaksanaan Dasar Pendidikan Negara.

Guru-guru pula akan terkesan kerana perlu melengkapkan diri dengan kemahiran Bahasa Inggeris yang secukupnya untuk membolehkan proses P&P dilaksanakan secara berkesan. Sementara murid juga akan terkesan terutama murid luar bandar, memandangkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang agak rendah.

Keadaan ini akan menjejaskan prestasi dalam Sains dan Matematik yang berpunca daripada kelemahan Bahasa Inggeris, sedangkan sudah terbukti negara-negara maju seperti German, Perancis, Cina Jepun dan Korea mencipta kecemerlangan Sains dan Matematik melalui Bahasa Ibunda mereka.

PAS Negeri Sembilan menyarankan supaya kerajaan memberi penekanan kepada Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memantapkan Penguasaan bahasa Inggeris (MBM atau MBI) yang telah menjadi dasar pendidikan yang perlu dilaksanakan.

HJ RAFIEI MUSTAPHA
Pesuruhjaya
PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 4/2/2020

Advertisement